fbpx

K2

Melestari seni sulaman keringkam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEAWAL usia sembilan tahun, Norinda K. Suut, 52, sering membantu ibunya menyulam keringkam yang merupakan warisan masyarakat Melayu di Sarawak.

Hakikatnya, Norinda mula mempelajari sulaman keringkam daripada nenek dan diperhalusi lagi kemahiran tersebut dengan ibunya.

Sudah menjadi kemestian dalam keluarganya yang mana kaum wanita akan menyulam keringkam sehingga kemahiran sulaman tersebut diwarisi turun-temurun.

Sehubungan itu, tidak hairanlah ibu Norinda iaitu Mastura @ Masnah Sedik, 76, telah dinobatkan sebagai The Sarawak Living Legend bagi Sulaman Keringkam Emas 2019 atas sumbangannya dalam sulaman keringkam.

Norinda memberitahu, sulaman keringkam ini bermula sejak tahun 1800 ketika pemerintahan Rajah Brooke.

“Keringkam dikatakan berasal dari India dan dibawa oleh pedagang negara tersebut ke pelabuhan yang pada ketika itu berdekatan Kampung Lintang, Sungai Bedil dan Tanjung di Sarawak.

“Oleh itu, tiga kampung tersebut merupakan antara lokasi terawal yang memulakan sulaman keringkam dan boleh dikatakan setiap rumah mempunyai penyulam,” katanya yang berasal dari Kampung Lintang, Kuching, Sarawak.

Suatu ketika dahulu, keluarganya juga pernah menjadi pembekal tudung keringkam kepada peniaga di India Street, Kuching.

NORINDA (kanan) bersama ibunya, Mastura yang pernah dinobatkan sebagai The Sarawak Living Legend dalam pembuatan sulaman keringkam.

Keringkam merujuk kepada kepingan logam lembut dan nipis yang diperbuat daripada emas serta perak untuk dijadikan sebagai benang sulaman.

Secara tradisinya, keringkam tersebut yang dijadikan sebagai benang akan disulam ke atas kain untuk membuat selayah atau selendang bagi menutup kepala wanita.

Pada masa dahulu, selayah keringkam itu menjadi lambang status dan kedudukan seseorang wanita Melayu yang akan digayakan bersama baju kurung, kebaya atau songket Melayu Sarawak.

Ketika itu, ia dipakai oleh golongan bangsawan semasa menghadiri majlis rasmi di istana atau acara-acara penting kerajaan.

SULAMAN keringkam menggunakan keringkam atau kepingan logam emas atau perak nipis yang dijadikan benang.

Kebiasaannya pada masa kini, selayah keringkam dipakai pada majlis pertunangan, perkahwinan dan khatam al-Quran.

Menurut Norinda, alatan yang digunakan untuk membuat sulaman keringkam ialah pedangan untuk menegangkan kain, benang keringkam, gunting dan jarum yang diperbuat daripada tembaga atau perak.

“Sulaman keringkam adalah proses menembus jarum ke urat benang pada kain dan ditarik sehingga membentuk lubang-lubang kecil serta halus.

“Benang keringkam itu ditarik ke hadapan dan mengundur semula bagi memperkemaskan sulaman supaya motif tersebut dapat digunakan pada kedua-dua belah permukaan kain,” ujarnya sambil memberitahu penyulam tidak akan melukis corak di atas kain sebaliknya corak dibuat menerusi pengiraan urat benang.

Bagi sulaman keringkam, kebiasaannya penyulam akan menggunakan kain kasa rubiah dan sifon.

Tambahnya, motif sulaman yang paling popular adalah tali air, gunung-gunung, pucuk rebung, tabur bintang atau selit, kekacang, bunga ros, kenanga dan orkid.

Jelas anak sulung daripada enam beradik itu, untuk menyiapkan sulaman keringkam itu, dia mengambil masa sekitar dua minggu hingga tiga bulan bergantung kepada kerumitan motif.

KEINDAHAN seni sulaman keringkam terserlah dengan kepelbagaian motif pada selayah atau selendang ini.

Kini, sulaman keringkam tidak terhad kepada penghasilan selayah sahaja tetapi ia telah dikomersialkan kepada pelbagai produk lain seperti beg kepit, bingkai gambar, alas meja dan gelas serta turut dijadikan sebagai cenderamata yang disulam bermotifkan Sarawak contohnya burung kenyalang.

Norinda berterima kasih kepada kerajaan negeri Sarawak, Sarawak Tourism, Centexs Comercial dan pertubuhan bukan kerajaan lain seperti Atelier Sarawak kerana membantu penyulam-penyulam keringkam mempromosikan, memasarkan serta mengkomersialkan produk warisan itu.

Mengulas mengenai harga keringkam, Norinda memberitahu, ia bergantung kepada turun naik nilai emas semasa.

“Harga produk sulaman keringkam bermula RM3,000 dan boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit mengikut motif, jenis dan kerumitan pembuatan.

“Benang keringkam diimport dari Turki, Jerman dan India yang mana pada ketika ini, bagi satu ikat benang mempunyai lapan hingga 12 urat atau dipanggil lembar berharga RM200 seikat,” tutur Penolong Pegawai Penerbitan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu.

Bagi menyiapkan satu meter selayah memerlukan sekurang-kurangnya 12 ikat benang keringkam dan akan bernilai RM4,800 termasuk upah.

Sementara itu, seorang lagi penyulam keringkam, Amirul Shazlie Yusuf, 32, berasa bertuah dan bangga kerana dapat meneruskan warisan Melayu Sarawak itu.

“Walaupun menyulam keringkam didominasi kaum wanita tetapi ia bukan penghalang untuk saya melestarikan warisan ini dan memastikannya terus bernafas.

“Pernah suatu ketika dahulu sulaman keringkam hampir pupus kerana hanya sebilangan kecil yang membuatnya, malah terdiri daripada warga emas,” ujar anak bongsu daripada lima beradik itu.

Amirul Shazlie yang aktif menyulam keringkam sejak enam tahun lalu berkata, penghasilan sulaman itu sangat rumit kerana bukan sahaja memerlukan kemahiran tinggi tetapi pembuatnya juga harus memiliki ketelitian dan kesabaran.

AMIRUL SHAZLIE merupakan anak muda yang kini giat mengusahakan seni sulaman keringkam dan berazam untuk memastikan warisan Melayu Sarawak ini berkekalan.

Bercerita lanjut mengenai kecintaannya terhadap sulaman keringkam, dia memberitahu, ia telah berputik sejak di bangku sekolah rendah.

“Keluarga saya tidak melakukan aktiviti menyulam keringkam tetapi sejak kecil saya telah melihat orang menggayakannya sebagai salah satu pelengkap busana pengantin.

“Kebetulan pula, pada ketika itu saya sering menemani ibu yang merupakan seorang mak andam ke majlis-majlis kahwin untuk menyolek pengantin,” katanya yang berasal dari Kampung Tupong Ulu, Kuching.

Setiap kali melihat pengantin wanita menggayakan selayah keringkam itu, mata Amirul Shazlie bagaikan terpesona dengan keindahan sulaman tersebut sehingga menjentik minat untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

Sehubungan itu, dia mula belajar dengan guru-guru sulaman keringkam sekitar Kuching dan mengambil masa sekitar setahun untuk pandai menyulam.

Pemilik jenama Tampan Keringkam itu turut menurunkan ilmu sulaman keringkam kepada anak saudaranya yang kini banyak membantunya menyiapkan tempahan pelanggan.

“Saya pernah menerima tempahan paling mahal berharga RM30,000 oleh kerabat diraja di sebuah negeri di Semenanjung yang mana selayah keringkam itu dihiasi motif penuh bunga mawar dan pucuk rebung.

“Sulaman keringkam ini tahan lama dan boleh menjangkau usia ratusan tahun, malah keluarga ada menyimpan selayah keringkam peninggalan moyang yang berusia lebih 100 tahun,” terangnya yang merupakan tenaga pengajar Projek Seni Sulaman Keringkam Melayu Sarawak di Sekolah Tunas Bakti Kuching.

Pada masa akan datang, Amirul Shazlie berhasrat untuk membuka bengkel dan galeri sulaman keringkam agar seni warisan itu tidak pupus ditelan zaman dengan menjadikannya tempat generasi muda menimba ilmu mengenai sulaman indah itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI