SELEPAS sukan ‘breakdance’ diumumkan akan dipertandingkan pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, Persekutuan Dance Sport Malaysia (MYDF) mula melakukan persediaan awal.
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membuat pengumuman bahawa acara ‘breaking’ yang merupakan salah satu cabang dalam ‘breakdance’ bakal dipertandingkan pada temasya sukan terbesar dunia itu.
Setiausaha Agung MYDF, Chester Lim mengakui gembira dengan keputusan tersebut selain menyifatkan pengumuman tu menyuntik semangat buat semua atlet melakukan persiapan.
Bagaimanapun, beliau mengakui pandemik Covid-19 di seluruh dunia ketika ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada pihaknya untuk menjalankan program pembangunan.
“Pengumuman berhubung sukan ini akan dipertandingkan pada Olimpik 2024, saya anggap sesuatu yang sangat positif. Bagaimanapun, perjalanan masih panjang dan sudah tentu perlu mengharungi saingan kelayakan.
“Saya juga akui sukar untuk jalankan program pembangunan ketika ini gara-gara Covid-19. Mungkin kita perlu tunggu keadaan reda terlebih dahulu sebelum ambil langkah seterusnya,” katanya.
Tambah beliau, memandangkan sukan ‘breakdance’ ini masih baharu di Malaysia, ia memerlukan sedikit masa bagi membangunkan sukan berkenaan.
Sebagai rekod, Malaysia boleh dikatakan antara pasukan terbaik di Asia Tenggara dalam sukan tersebut apabila atlet negara, Sam Jee Lek merangkul pingat emas menerusi acara ‘breaker’ pada Sukan SEA Filipina 2019.
Menjelang Sukan SEA Hanoi 2021, sukan tersebut akan dipertandingkan buat kali ketiga di pentas Asia Tenggara selepas dipertandingkan pada Sukan SEA Korat 2007 dan Filipina tahun lalu.