Oleh NORLIZAH ABAS
PUTRAJAYA – Rayuan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berhubung pembayaran ganti rugi RM150,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memfitnahnya dalam satu ceramah di Lembah Pantai, 12 tahun lalu, akan didengar di Mahkamah Rayuan.
Ini bermakna, bekas Menteri Belia dan Sukan itu mendapat satu lagi peluang untuk mengetepikan saman fitnah dan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkannya membayar ganti rugi kerana memfitnah Ketua Pembangkang itu.
Keputusan sebulat suara tersebut dicapai oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan hari ini ketika membenarkan rayuan Khairy dengan kos RM30,000.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim memutuskan demikian ketika bersidang bersama-sama Datuk P. Nallini, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Rhodzariah Bujang.
Sebelum itu, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Khairy memohon kos RM100,000 manakala peguam J. Leela yang mewakili Anwar memohon kos RM10,000.
Pendengaran rayuan itu dikendalikan dalam mahkamah terbuka secara dalam talian menerusi sidang video dengan kehadiran panel lima hakim dan beberapa pegawai mahkamah.
Khairy merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 19 Februari 2018 yang membatalkan notis rayuannya selepas mendapati notis itu tidak sempurna serta tidak mematuhi prinsip undang-undang seperti yang ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes melibatkan usahawan permaidani, J. Deepak.
Mahkamah Rayuan ketika itu berpendapat ia terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang sudah menggariskan prinsip undang-undang yang perlu dipatuhi berhubung pemfailan notis rayuan yang mana ia perlu difailkan secara berasingan bagi setiap rayuan.
Pada 29 September 2017, Mahkamah Tinggi memerintahkan Khairy membayar ganti rugi RM150,000 dan kos RM60,000 kerana memfitnah Anwar dalam satu ceramah berhubung penyebaran klip video pada 20 Februari 2008.
Hakim Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu selepas membenarkan saman fitnah yang difailkan oleh Anwar dan menolak permohonan Khairy untuk meminda pernyataan pembelaannya.
Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman itu bagi memohon ganti rugi RM100 juta dengan mendakwa Khairy yang ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno, mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah dan menyebarkan klip video bertajuk ‘Anwar and kin no threat’ disiarkan dalam laman web, termasuk Malaysiakini.com. -K! ONLINE