LONDON – Gol penyamaan menerusi sepakan penalti Mohamed Salah pada minit ke-79 berjaya menyelamatkan maruah Liverpool daripada diaibkan Fulham apabila seri 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Craven Cottage awal pagi semalam.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp nyata tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut apabila mendakwa pemain pertahanan Fulham, Antonee Robinson telah menolak Salah sebelum Bobby De Cordova-Reid menjaringkan gol pembukaan tuan rumah pada minit ke-25.
Pengendali dari Jerman itu menyindir keputusan pengadil perlawanan, Andre Marriner kerana melabel tindakan Robinson ke atas Salah sebagai satu perkara biasa yang sering terjadi dalam permainan bola sepak.
“Ia adalah satu kesalahan (tindakan Robinson) walaupun ia bukanlah kekasaran kad kuning ataupun merah. Ia dapat dilihat dengan jelas dia telah menolak Salah untuk memenangi bola.
“Saya hairan kenapa pengadil perlawanan tidak memberikan sepakan percuma kepada kami ketika Salah ditolak. Ia adalah satu kekasaran kerana pemain saya ditolak,” luah Klopp.
Sementara itu, kapten The Reds, Jordan Henderson mengakui, mereka gagal menyesuaikan diri pada 30 minit pertama perlawanan, namun gembira apabila rakan-rakan sepasukan berjaya bangkit meraih gol penyamaan dalam babak kedua.
“Ia sesuatu yang bahaya apabila anda gagal mendapat rentak pada 30 minit pertama permainan. Kami juga sukar mencipta peluang disebabkan corak permainan Fulham,” jelasnya.
Selepas ini, Liverpool dijadualkan bertemu pendahulu liga, Tottenham Hotspur di Anfield awal pagi Khamis ini. – AGENSI