PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) meneruskan perkhidmatan berhenti merokok atau mQuit Services untuk lima tahun lagi sehingga 2025 selepas melihat kejayaan program itu sejak diperkenalkan pada 2015.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, fasa ketiga mQuit Services kali ini membabitkan kerjasama 13 rakan kongsi masing-masing terdiri daripada syarikat farmasi, universiti awam, hospital swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata, program itu dilihat berjaya apabila jumlah perokok yang mendaftar untuk berhenti merokok meningkat setiap tahun.
“Mengikut data diterima, jumlah perokok yang mendaftar didapati meningkat daripada 10,240 pada tahun 2017 kepada 20,032 (2018) dan 22,601 (2019).
“Daripada jumlah yang berdaftar itu, 35 peratus daripada perokok berjaya berhenti merokok dan ia satu kejayaan yang sangat memberangsangkan,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Pelanjutan mQuit Services Fasa 3, di sini hari ini.
Noor Azmi mengingatkan semua supaya tidak memulakan tabiat merokok kerana sangat sukar untuk berhenti merokok kerana rokok itu ada elemen ketagihan.
Beliau berkata, ada juga kajian yang menunjukkan bahawa perokok yang dijangkiti wabak Covid-19 berisiko lebih 14 kali untuk dijangkiti radang paru-paru.
“Sepanjang pandemik ini juga, saya dapati kebanyakan mangsa yang meninggal dunia akibat Covid-19 kebanyakannya adalah perokok dan mereka yang memiliki banyak penyakit,” katanya.
Katanya, bagi fasa ketiga ini, kementerian akan memperkukuhkan lagi aspek pendidikan khsususnya mendidik rakyat supaya berhenti merokok.
Selain itu, Noor Azmi berkata, beliau menyasarkan kira-kira 200 lagi fasiliti swasta bagi menyediakan perkhidmatan rawatan berhenti merokok sepanjang fasa tiga program ini. -K! ONLINE