fbpx

Kejuaraan yang tercalar Cliff Umar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CLIFF UMAR

TIADA yang lebih manis dan pada masa sama mengejutkan apabila memegang panji ‘underdog’ dalam sesebuah pertandingan, namun pada akhirnya, meroket ke kedudukan teratas.

Tuah semangat ‘villian’ persis Joker mendendangkan lagu I’d Do Anything For Love (duet bersama Noryn Aziz) dan Nakal pada segmen medley seterusnya menggegarkan segmen battle dengan lagu Inilah Nasibku, Cliff Umar membuat kejutan. Naik ke pentas final daripada kedudukan tercorot pada separuh akhir kepada juara Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7), dia kini juara!

Bagaimanapun, dalam kemanisan bergelar juara, segaris kontroversi tiba-tiba mencalar imejnya apabila Cliff, 38, secara tidak sengaja menghiris perasaan khalayak.

“SOP is irritating (menjengkelkan)”. Begitulah ungkapan Cliff tentang undang-undang musim Covid-19 yang harus dipatuhi semua golongan ketika ini sehingga mencetuskan kecaman ramai.

Sepotong ayat tersebut disifatkan sungguh tidak kena pada masa dan tempat, yang sepatutnya digunakan untuk mengucapkan sesuatu yang lebih bermakna.

HEBAT. Cliff melakukan persembahan dengan cemerlang pada segmen medley dan memberi kejutan apabila diangkat sebagai juara GV7.

Ucapan

Menjawab isu berkenaan, Cliff memohon maaf atas segala keterlanjuran yang berlaku. Katanya, dia tidak mempunyai maksud untuk menzahirkan sebarang rasa tidak hormat, terutama kepada golongan yang bertungkus-lumus ‘berperang’ dengan koronavirus.

“Selalunya saya berfikir sebelum saya bercakap. Siapa sangka saya akan menang. Mungkin apabila berada dalam keadaan terkejut, saya terlepas cakap (tentang SOP).

“Saya minta maaf sangat-sangat. Tiada maksud nak kurang ajar atau menghiris hati terutama para petugas barisan hadapan. Saya maksudkan pelitup muka itu mengganggu, apabila saya nak bercakap dan berikan ucapan.

“Apabila saya bercakap, keadaan muka berkabus, bukannya mengganggu atau saya tidak bersetuju dengan prosedur operasi standard (SOP),” katanya kepada HibGlam.

Bercakap tentang kemenangannya pada malam tersebut, Cliff yang merupakan vokalis kumpulan Projek Pistol sememangnya tidak menyangka akan menang, namun rezeki ternyata berpihak kepadanya.

WAJAH-WAJAH yang mengungguli final GV7, Ahad lalu. (Dari kiri), Muss, Cliff Umar dan Ayu Damit.

“Siapa sangka saya akan menang tetapi kemenangan ini bukan untuk saya seorang. Kemenangan ini juga buat legenda-legenda yang berada atas pentas bersama saya sepanjang pertandingan ini.

“Ini satu pendedahan dan pengalaman terbaik apabila dapat berkongsi satu pentas dengan mereka dalam GV7. Sebagai contoh, dahulu tengok Kak Ani (Noraniza Idris) buat persembahan semasa Sukan Komenwel 1998 dan Oja pun dahulu hebat menyanyi dengan band yang merupakan antara rujukan nyanyian saya,” ungkap Cliff.

Ditebak pertanyaan strategi persembahannya pada malam final yang seperti mengambil semangat Joker, jawab Cliff, semua itu hanyalah lakonan dan nampaknya percaturan tersebut membuahkan hasil.

“Itu hanya lakonan atas pentas. Apa yang penting adalah suara dan persembahan saya. Selama 10 minggu bertarung, saya cuba buat bermacam-macam konsep.

“Kalau anda ingat, saya pernah nyanyi lagu Pesanan Buat Kekasih. Walaupun tidak sesedap penyanyi asalnya, Amir Spring, saya nyanyi dan bawa dengan gaya tersendiri. Saya juga ambil nasihat para juri tentang penafasan ketika menyanyi. Tiga minggu saya baiki diri tentang perihal itu.

“Senang cerita, GV7 beri pengalaman yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Banyak sangat perkara yang saya telah belajar sepanjang berlangsungnya pertandingan ini,” kata Cliff.

JURI tetap, Datuk Ramli MS menyifatkan para peserta GV7 sebagai yang paling tekun sepanjang penganjuran.

Paling tekun – Ramli MS

Beralih ke meja juri, ketua juri, Datuk Ramli MS puas hati dengan komitmen dan kualiti peserta GV7 yang beliau sifatkan sebagai paling tekun sepanjang penganjuran sejak tujuh musim lalu.

“Saya bersikap adil dalam memberikan markah. Kalau mereka beri persembahan berskala 10, saya beri markah 10. Kalau 15, saya beri markah 15. Markah dari meja juri mutlak.

“Markah malam ini sepenuhnya berdasarkan persembahan yang dihadirkan pada malam ini. Kalau ingin dibandingkan dengan musim-musim terdahulu, saya rasa tidak adil untuk membuat perbandingan.

“Sebagai contoh, ketika Muss dan Azharina berduet, anda sendiri tahu bagaimana persembahan itu dijayakan. Jadi, tidak adil untuk saya membuat perbandingan di situ. Namun, saya boleh katakan para peserta GV7 sangat tekun dengan segala cabaran yang berlaku pada musim ini, terutama disebabkan pandemik Covid-19,” katanya penuh hemat.

Kemenangan Cliff pada Ahad lalu juga sekali gus menenggelamkan harapan menggunung peminat yang ingin melihat sama ada Muss atau Oja dinobatkan sebagai juara berdasarkan persembahan dan prestasi minggu terdahulu.

MUSS terpaksa berpuas hati sebagai naib juara apabila gagal membawakan lagu Mencintaimu (duet bersama Azharina) dengan cemerlang.

“Saya tiada masa untuk fikir siapa yang patut menang. Apa yang penting, kita semua buat persembahan yang terbaik. Tetapi berdasarkan persembahan pada malam itu, memang Cliff layak diangkat sebagai juara,” kata Muss atau nama sebenarnya, Mustaffa Din, 52 yang membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000.

Sementara itu, Oja yang jika mengikut prestasi ‘kad laporan’ turut berpeluang bergelar juara namun entah di mana silapnya, Oja hanya berjaya menduduki tempat keenam.

“Sebenarnya, ramai yang harapkan saya jadi juara tetapi saya sendiri takut nak jadi juara. Saya selalu berdoa kalau memudaratkan, janganlah jadikan saya juara. Makbul pula doa saya,” ujar Oja berseloroh.

OJA yang disandarkan harapan menggunung peminat untuk bergelar juara hanya berpuas hati dengan tempat keenam.

Selesa berada di tempat ketiga, penyanyi kesayangan ramai, Ayu Damit menerima hadiah wang tunai RM30,000.

Sementara tempat keempat diraih Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris yang pulang dengan hadiah wang tunai RM20,000.

Dalam pada itu, biarpun berada pada kedudukan tangga tiga tercorot iaitu kelima, keenam dan ketujuh, Linda Nanuwil, Oja dan Ashira masing-masing tidak pulang dengan tangan kosong.

Linda membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, sementara Oja RM10,000 dan Ashira pula sebanyak RM5,000.

NORANIZA mampu menarik nafas lega apabila persembahan pada malam final memuaskan hati banyak pihak.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI