GEORGE TOWN – Rata-rata pelancong dan penduduk di negeri ini meminta kerajaan supaya tidak menghentikan perkhidmatan feri yang menjadi ikonik Pulau Pinang berusia 126 tahun.
Pengangkutan air yang bermula tahun 1894 itu menghubungkan Pangkalan Raja Tun Uda di sini dan Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth.
Pelancong yang mahu dikenali sebagai Adly, 27, berkata, perkhidmatan feri di negeri ini dianggap unik sehingga mendorongnya bercuti di Pulau Pinang bagi merasai pengalaman menaiki pengangkutan air tersebut.
“Saya berbangga dapat naik feri yang kerap menjadi buah mulut pelancong.
“Perkhidmatan ini harus dikekalkan kerana ia adalah ikon Pulau Pinang yang tiada di tempat lain di Semenanjung Malaysia,” katanya kepaa Kosmo! semalam.
Terdahulu, tular di media sosial sejak kelmarin mengenai dakwaan perkhidmatan feri penumpang dan kenderaan akan berakhir pada 31 Disember ini.
Kenyataan tanpa memetik sumber pihak berkuasa itu memaklumkan Pangkalan Raja Tun Uda akan ditutup dan operasinya dipindahkan ke Swettenham Pier pada 1 Januari ini.
Bagi penduduk, Danial Abd. Majid, 38, pula, dia sanggup menunggu lama untuk menaiki feri dengan kekerapan kira-kira 30 minit hingga sejam ketika ini.
“Sekiranya menggunakan jambatan Pulau Pinang, perjalanan lebih jauh, dengan menaiki feri penunggang motosikal boleh berehat sementara feri belayar,” katanya.
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati orang ramai terutama pelancong tidak melepaskan peluang menaiki pengangkutan air itu termasuk beratur panjang selain tempoh menunggu yang lama.
Pejalan kaki turut memenuhi ruang khas di dek atas feri dua tingkat tersebut untuk menyeberangi laut menuju ke bandar raya ini dari Seberang Perai.
Peniaga snek yang dikenali sebagai Wani, 20-an pula berkata, orang ramai mula menyerbu menaiki feri selepas maklumat mengenai perkhidmatan tersebut akan ditamatkan tidak lama lagi tular di media sosial.
“Jumlah pengunjung (menggunakan feri) luar biasa. Mereka sanggup beratur lama dan mahu merasai pengalaman kali terakhir menaiki feri,” katanya.
Perkhidmatan feri Pulau Pinang beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 12.30 tengah malam setiap hari dengan kekerapan 18 hingga 20 perjalanan sehari.
Dalam pada itu, status mengenai perkhidmatan feri Pulau Pinang masih menjadi tanda tanya berikutan pihak pengurusan belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenainya setakat semalam.
Satu sumber Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) memberitahu perkara itu tidak tepat, namun enggan mengulas lanjut. Satu sidang akhbar akan diadakan hari ini bagi menjelaskan mengenai perkara tersebut.
Seorang petugas perkhidmatan feri yang enggan dikenali pula berkata, dia dan staf lain tidak mengetahui mengenai penamatan perkhidmatan tersebut.
“Saya difahamkan (pegangan) Prasarana Malaysia Berhad akan tamat hujung tahun ini dan akan diambil alih (semula) oleh SPPP,” katanya.