fbpx

Inisiatif menggilap pelapis Tekken 7

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABD.RAHIM (berdiri di belakang, lima dari kiri) bersama komuniti Tekken 7 yang berlatih di Tasek Gelugor setiap malam Sabtu.

Abd. Rahim tampil latih bakat-bakat baharu e-Sukan di Tasek Gelugor, Pulau Pinang

Oleh SAFINA RAMLI

DARIPADA sekadar bermain permainan Tekken 7 sebagai mengisi masa lapang, siapa sangka­ pemuda ini berjaya menjulang nama Malaysia pada Sukan SEA Filipina 2019.

Biarpun sekadar me­raih kedudukan 8 terbaik bagi kategori­ Tekken 7, atlet e-Sukan kebangsaan, Abd. Rahim Abd. Shukor, 30, berazam untuk melahirkan lebih ramai pelapis dalam bidang e-Sukan terutama membabitkan fighting games, Tekken 7.

Hal ini kerana, Abd. Rahim berkata, pada masa ini ramai pemain e-sukan terutama golongan muda yang lebih gemar bermain Mobile Legends, PUBG dan lain-lain tanpa menyedari Tekken 7 mampu menjanjikan masa depan cerah untuk mereka.

Abd. Rahim yang mengenali dunia e-Sukan sejak berusia 14 tahun berkata, Tekken 7 mempunyai rangkaian dan kejohanan bertaraf dunia dan Malaysia masih kurang generasi pelapis yang bermain permainan bergenre pertempuran (fighting games).

Sehubungan itu katanya, dia membuka peluang untuk mereka yang berminat menceburkan diri dalam bidang e-Sukan dengan memberi latihan bagi memahirkan diri dalam selok belok permainan Tekken 7.

“Komuniti kami akan berkumpul di Tasek Gelugor setiap malam Sabtu dan di situ saya akan melatih mereka yang berminat untuk menjadi seorang pemain profesional Tekken 7.

“Setakat ini, komuniti kami berjumlah kira-kira 20 orang yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan bersedia menyahut cabaran menjadi pemain Tekken 7,” katanya kepada Kosmo! semalam.

ABD. RAHIM (dua dari kiri) yang merupakan atlet e-Sukan kebangsaan bangga dapat mewakili negara pada Sukan SEA Filipina 2019.

Anak jati Bayan Lepas, Pulau Pinang itu berkata, mereka yang berminat untuk menjadi pelatihnya boleh berhubung menerusi Facebook, Abd. Rahim pada bila-bila masa sahaja.

“Syarat untuk menjadi pemain e-Sukan profesional ialah ber­disiplin kerana latihan yang dilaksanakan akan mengambil masa panjang.

“Untuk latihan di Tasek Gelugor, kami akan mula berlatih pada pukul 8 malam dan latihan hanya akan berakhir pada pukul 3 pagi,” katanya.

Abd. Rahim yang kini menjalankan perniagaan sambilan berkata, permainan e-Sukan ber­asaskan fighting games seperti Tekken 7 memerlukan pemain­nya pantas berfikir untuk mencari strategi menumpaskan lawan.

Katanya, Tekken 7 juga boleh diibaratkan seperti permainan catur di alam maya yang memerlukan pemainnya bertindak dan berfikir dengan pantas.

ABD. RAHIM (kanan) fokus ketika bermain permainan Tekken 7 kerana perlu kepantasan berfikir dan mengatur strategi bagi menumpaskan lawan.

“Bermain Tekken 7 tidak se­perti permainan lain kerana kita bermain secara individu.

“Nyawa kita di dalam permainan ini juga bergantung kepada diri sendiri kerana tidak ada rakan-rakan lain boleh membantu.

“Jadi setiap kali pihak lawan membuka langkah, kita perlu mengatur strategi untuk memastikan lawan segera tumpas de­ngan gerakan kita,” katanya.

Tambahnya, ketika pandemik Covid-19 ini, walaupun tidak dapat menyertai kejohanan di luar negara, dia tetap aktif menyertai kejohanan Tekken 7 secara dalam talian.

“Saya telah melayakkan diri untuk bertanding Kejohanan Tekken 7 EVO 2021 di Amerika Syarikat pada tahun depan.

“Tarikhnya belum lagi ditetapkan oleh penganjur kerana situasi Covid-19, saya berharap dapat menyertai kejohanan di Amerika Syarikat kerana ia merupakan salah satu kejohanan berprestij bagi e-Sukan profesional,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI