fbpx

Ikat perut demi besarkan lima anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUR AFIQAH (tengah) bersama sebahagian anaknya ketika dikunjungi Pertubuhan Ihsan Johor di PPR Uda Utama, Johor Bahru baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri yang tinggal di kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) Uda Utama di sini, terpaksa ikat perut demi kelangsungan hidup lima anak mereka selepas mengalami masalah kewangan.

Kesukaran itu dialami Nur Afiqah Amira Mohd. Aidil, 23, selepas pendapatan suaminya, Raja Hairi Misha Raja Misuari, 25, yang bekerja sebagai pembantu gerai di Taman Setia Indah dekat sini terpaksa dipotong akibat terkesan dengan penularan Co­vid-19 sejak September lalu.

Malah, Nur Afiqah dan suaminya juga kini menjaga seorang bayi mereka, Aariz Rizqi berusia empat bulan yang mengalami jantung berlubang dan tiroid.

Selain Aariz Rizqi, pasangan muda itu mempunyai empat lagi anak iaitu Irsalina Hairin, 6; Harraz Ramadhani, 5; Irsyad Khan, 3, dan Nisrina Amanda, 2.

Nur Afiqah berkata, sejak September lalu, suaminya hanya dibayar gaji antara RM100 hingga RM200 seminggu berbanding kira-kira RM1,200 sebulan sebelum ini.

“Pendapatan ini tidak cukup untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga. Kami terpaksa dahulukan untuk membeli ke­perluan anak-anak serta perbe­lanjaan perubatan anak bongsu.

“Bil air dan elektrik juga sudah lama tertunggak, manakala sewa rumah dan bayaran ansuran motosikal sudah tiga bulan tidak dibayar. Kami juga terpaksa ikat perut demi anak-anak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ihsan Johor, Farrah Faridah Baptist dan sukarelawannya menyampaikan bantuan makanan, wang tunai dan sumbangan televisyen dan peti sejuk kepada keluarga itu.

Tinjauan juga mendapati, rumah tersebut tidak mempunyai perabot atau peralatan elektrik melainkan sebuah meja makan dan sebuah almari dapur.

Nur Afiqah berkata, mereka sekeluarga sudah menetap di situ sejak dua tahun lalu selepas berpindah dari rumah ibu mertua di Taman Daya dekat sini.

Katanya, dia tidak mampu untuk bekerja bagi meringankan beban suaminya kerana mengalami masalah jantung berlubang dan injap bocor sejak lahir serta memerlukan rawatan susulan dua kali sebulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

“Mak mertua dan adik ipar saya banyak membantu kami. Saya sudah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan masih menunggu keputusan,” katanya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan bantuan kepada keluarga ini boleh menghubungi mereka di talian 019-5222 609.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI