PETALING JAYA – Spekulasi pengganti Nabila Razali yang membawakan lagu Peluang Kedua pada pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35) akhirnya terjawab apabila lagu tersebut didendangkan penciptanya sendiri, Hael Husaini.
Hael membawakan lagu tersebut pada saingan episod ketiga SFMM35 bagi menggantikan Nabila yang mengalami masalah tekak sejak beberapa minggu lalu.
Sebelum ini, beberapa nama artis seperti Haqiem Rusli, Misha Omar dan Hael sendiri disebut-sebut netizen sebagai pengganti paling tepat untuk membawakan lagu berkenaan.
Terdahulu, Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd. Razali, 28, menarik diri daripada beraksi di pentas SFMM35 disebabkan masalah peti suara.
Pun begitu, seperti judul lagunya Peluang Kedua, ramai berpendapat insiden yang berlaku baru-baru ini memberikan peluang kedua buat Nabila.
Dia sendiri berharap boleh menyanyikan lagunya selepas program itu ditangguhkan apabila salah seorang penyanyi terlibat, Alif Satar positif Covid-19.
Pusingan ketiga yang sepatutnya berlangsung pada 22 November lalu bersiaran sebentar tadi.
Sembilan buah lagu berentap untuk merebut tempat ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-35. – K! ONLINE