PETALING JAYA – Pelakon Faye Kusairi telah berkongsi berita gembira selepas selamat melahirkan cahaya mata perempuan pada Ahad lalu.
Faye atau nama sebenarnya Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 33, telah berkongsi berita tersebut menerusi akaun Instagram miliknya hari ini.
“Assalamualaikum, saya ingin berkongsi berita gembira kepada semua. Alhamdulillah saya selamat melahirkan anak perempuan kami pada hari Ahad lepas.
“Syukur ke hadrat Ilahi juga, saya dan bayi berada dalam keadaan sihat. Hari ini saya dan bayi sudah dibenarkan pulang ke rumah,” ujar isteri kepada pengarah, Azmi Hatta itu.
Pelakon yang pernah membintangi drama 7 Hari Mencintaiku itu turut melahirkan ucapan terima kasih kepada mereka yang mendoakannya.
“Terima kasih buat semua yang tidak putus-putus doakan kebaikan dan kesihatan saya berkenaan dengan Bell’s Palsy yang saya hidapi selama beberapa hari ini.
“Maaf saya belum mampu untuk membalas semua komen dan akan kongsikan perkembangan kesihatan saya termasuk ketika berpantang nanti,” ujarnya yang turut memohon diberikan masa untuk berehat ketika berpantang.
Pada 9 Disember lalu, Kosmo! melaporkan Faye telah terkena serangan Bell’s Palsy iaitu kelumpuhan pada otot ketika usia kandungannya mencecah 38 minggu.
Kejadian tersebut berlaku ketika pelakon itu sedang menggosok giginya di rumah pada 4 Disember lalu sebelum dia dimasukkan ke sebuah pusat perubatan.
Terdahulu, Faye dan Azmi selamat mendirikan rumah tangga pada 9 April 2017 dan dikurniakan seorang anak Alif Azmi yang kini berusia dua tahun.
Sebelum ini, Azmi pernah berkahwin dengan pelakon, penyanyi dan pengacara popular, Elly Mazlein pada November 2014 sebelum berpisah setahun kemudian. – K! ONLINE