Oleh MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK
ROMPIN – Waspada jika membeli barang kemas secara atas talian kerana seorang petani di sini kerugian RM8,100 akibat ditipu ketika kejadian semalam.
Mangsa yang merupakan wanita berusia 35 tahun tertarik selepas melihat iklan jualan promosi barang kemas di laman sosial Facebook pada 10 Disember lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, suspek menyiarkan iklan palsu menggunakan nama sebuah kedai emas yang benar wujud.
Ujar beliau lagi, mangsa kemudian dihubungi wanita menyamar pekerja kedai emas tersebut melalui aplikasi WhatsApp dan ditawarkan gelang emas jenis Coco seberat 21 gram pada harga RM4,600.
“Mangsa bersetuju membeli gelang tersebut dan diminta membuat bayaran ke dalam akaun seorang lelaki,” ujar Mohd. Wazir melalui kenyataan hari ini.
Tambah beliau, suspek bagaimanapun meminta mangsa menambah jumlah bayaran sebanyak RM2,000 lagi kerana berat gelang tersebut adalah 31 gram.
“Bayaran tambahan itu dimasukkan ke dalam akaun bank milik dua individu melalui tiga transaksi pada 11 Disember.
“Keesokannya, mangsa sekali lagi diminta membayar tambahan RM1,500 dengan alasan berat gelang tersebut adalah 38 gram dan empat transaksi dilakukan,” katanya.
Mohd. Wazir menambah, mangsa menghubungi kedai emas tersebut dan bercakap dengan seorang pekerja untuk membuat semakan pembayaran.
Ujarnya, pekerja kedai emas tersebut memberitahu tidak mengetahui nombor-nombor akaun yang telah digunakan mangsa untuk melakukan pembayaran.
“Mangsa menyedari telah tertipu dan tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Rompin (semalam). Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE