fbpx

K2

Bomba sado ‘lari’ daripada kerjaya sinonim keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD SYAHIR menunjukkan kekuatannya menarik jentera berat bomba di BBP Skudai, Johor Bahru, Johor baru-baru ini. – Foto RAJA JAAFAR ALI

“SAYA tidak terfikir pun nak jadi pegawai bomba,” ujar Ahmad Syahir Din Osman sewaktu berkongsi perihal peribadi ketika ditemui K2 di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Johor Bahru baru-baru ini.
Penolong Penguasa Bomba berusia 25 tahun itu berkata, cita-citanya sewaktu di bangku sekolah mahu menjadi pegawai polis.

“Saya membesar dalam keluarga polis. Ayah saya, Osman Jantan kini sudah berusia 63 tahun merupakan bekas koperal polis, datuk sebelah bapa saya juga polis dan belah ibu saya juga keluarga polis. Kehidupan saya diterapkan dengan disiplin kepolisan sehingga saya menanam cita-cita menjadi pegawai polis ketika di sekolah,” katanya.

Segalanya berubah selepas dirinya menerima panggilan temu duga sebagai penolong penguasa bomba ketika sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Automotif di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Jelas anak kelahiran Durian Tunggal, Melaka itu rakannya turut menyokong dia mencuba nasib mencari kerjaya lain daripada ahli keluarga yang kebanyakannya polis.

“Saya fikir apa salahnya saya mencabar diri mencuba kelainan. Alhamdulillah saya diterima menyertai pasukan bomba selepas lulus ujian fizikal lalu menjalani latihan rekrut di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu, Selangor pada Mac 2018.

“Sekarang saya sudah berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Johor selama tiga tahun sebagai penolong penguasa bomba,” katanya.

Ahmad Syahir menarik perhatian baru-baru ini apabila pegawai bomba bertubuh sado itu berjaya mencipta rekod peribadi menarik jentera FRT seberat 20 tan dalam satu aksi mencabar kekuatan diri di BBP Skudai.

PEGAWAI bomba bertubuh sado ini memastikan dirinya berpeluh sekurang-kurang satu jam sehari bagi mengekalkan kecergasan tubuh.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia memasang impian untuk mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pegawai bomba pertama berjaya menarik jentera berat jabatan itu.

“Setakat ini saya bergerak secara solo dan mencipta rekod sendiri dalam negara sahaja. Tahun lalu saya sertai Enrich Strongman Malaysia di Ampang, Selangor dan menduduki tempat kesepuluh daripada 86 peserta dari seluruh Malaysia. Kejayaan pada 28 September lalu adalah rekod peribadi saya menarik jentera FRT seberat 20 tan. Jika diberi keizinan, saya ingin cipta nama dalam MBOR sebagai pegawai bomba pertama atau paling kuat menarik jentera-jentera berat,” katanya.

Bekas pelajar Politeknik Port Dickson itu berkata, dia turut berhasrat mewakili JBPM ke pertandingan Enrich Strongman peringkat antarabangsa suatu hari nanti.

Tambahnya, dia menjaga stamina dengan memastikan pengambilan nutrisi yang seimbang. Setiap hari dia akan memastikan tubuhnya berpeluh sekurang-kurangnya satu jam untuk mengekalkan tahap kecergasan badan.

Ahmad Syahir menamatkan zaman bujangnya pada Mac lalu dengan kekasih hatinya, Nur Sa’adah Mazlan, 25, dan bakal menimang cahaya mata pada April tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI