NYON, Switzerland – Manchester United berdepan laluan getir pada pusingan 32 pasukan terbaik Liga Europa apabila diundi bertemu pendahulu La Liga, Real Sociedad.
Bagaimanapun, United yang berada dalam situasi tidak menentu ketika ini dilihat masih memiliki peluang seimbang untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya.
Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer pastinya memiliki ramuan terbaik bagi menebus kekecewaan tersingkir daripada melayakkan diri ke peringkat kalah mati saingan Liga Juara-Juara sebelum ini.
Sementara itu, satu lagi wakil Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal turut berdepan laluan berliku apabila diundi bertemu gergasi Liga Portugal, Benfica.
Undian tersebut pastinya meletakkan skuad bimbingan Mikel Arteta itu berada dalam keadaan yang cukup tekanan, lebih-lebih lagi apabila mereka kini menghuni tangga ke-15 EPL.
Sebagai rekod, Sevilla merupakan juara bertahan Liga Europa selepas menewaskan Inter Milan 3-2 pada perlawanan akhir musim lalu. – AGENSI