MADRID – Ketua jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane mengakui pasukannya mengharungi minggu yang paling sempurna musim ini selepas berjaya menepis tekanan dengan menewaskan musuh tradisi, Atletico Madrid 2-0 pada aksi La Liga awal pagi semalam.
Pada aksi itu, Madrid berjaya mengutip tiga mata penuh hasil jaringan Casemiro dan gol sendiri daripada penjaga gol Atletico, Jan Oblak pada babak kedua.
Kata Zidane, kunci kecemerlangan pasukannya musim ini adalah peningkatan prestasi gandingan tengah iaitu Casemiro, Luka Modric dan Toni Kroos sehingga berjaya mendominasi serta mencorakkan serangan The Galacticos.
“Taktikal yang saya terapkan adalah mudah iaitu memastikan Modric dan Kroos dapat menguasai jentera tengah sekali gus tidak membuka sebarang ruang buat Atletico mendominasi perlawanan.
“Strategi ini sangat berkesan dan tidak keterlaluan untuk saya katakan hampir semua pemain yang diturunkan beraksi cukup sempurna seperti Karim (Benzema), Lucas (Vazquez), Dani (Carvajal), Sergio (Ramos), dan Raphael (Varane),” katanya.
Sebagai rekod, Madrid turut berjaya menutup mulut pengkritik selepas menjuarai peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara pada awal minggu ini meskipun dikecam hebat serta dijangka gagal mara ke pusingan kalah mati.
“Saya percaya dua perlawanan penting yang kami harungi telah memberi makna cukup besar bahawa skuad ini tidak akan hanyut dengan kritikan. Malah, ia melonjakkan lagi semangat pemain untuk membuktikan kualiti yang mereka miliki,” katanya. – AGENSI