TANJUNG MALIM – Pasangan suami isteri maut selepas motosikal ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 363.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 1 petang itu, mangsa, Mohamad Nazrul Ismail, 41, rentung di lokasi kejadian manakala isterinya, Norwahidah Ahmad, 34, pula meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kemalangan itu melibatkan motosikal jenis Yamaha XMax ditunggang mangsa dengan sebuah kereta jenis Toyota Altis.
Katanya, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu lelaki berusia 40 tahun dari arah utara ke Johor itu hilang kawalan dan terbabas ke lorong kanan.
“Kereta itu terlanggar besi pembahagi tengah dan menyebabkan kenderaan tersebut melintang di tengah jalan.
“Dalam masa sama, motosikal mangsa tidak sempat mengelak dan terlanggar pintu belakang kiri kereta tersebut sebelum kedua-dua kereta dan motosikal itu terbakar,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa cedera parah namun penunggang motosikal disahkan rentung dan maut di tempat kejadian manakala isterinya meninggal dunia dalam perjanalan ke hospital.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE