PETALING JAYA – Pelakon Fatin Afeefa terpaksa mengalah dan menarik diri daripada meneruskan perjuangannya dalam pertandingan nyanyian Vokal Mania gara-gara mengalami masalah ulser kornea iaitu sejenis jangkitan pada mata.
Menurut selebriti berusia 26 tahun itu, dia mengalami jangkitan pada mata kirinya sejak beberapa hari lalu dan telah mengambil keputusan untuk berehat.
“Tetapi makin lama jangkitan pada mata kiri saya menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan mata saya jadi berair dan sakit.
“Selepas berjumpa dengan doktor, saya terus ditahan di wad kerana doktor mendapati terdapat ulser pada bebola mata saya,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Lebih buruk lagi, doktor memberitahu, jika tidak dirawat dengan segera, mata kirinya boleh menjadi buta sekali gus menyebabkan dia hilang penglihatan.
Fatin yang baharu sahaja dibenarkan keluar dari hospital pada Khamis lalu berkata, disebabkan masalah tersebut, dia terpaksa menarik diri daripada program Vokal Mania walaupun dirinya layak ke peringkat separuh akhir.
“Namun, untuk tidak menyusahkan pihak TV3 dan atas nasihat doktor, saya terpaksa menarik diri walaupun rasa agak sedih dan terkilan,” katanya lagi.
Tambahnya, jika matanya terdedah dengan cahaya lampu, ia akan menyebabkan matanya jadi bertambah berair sekali gus boleh menjejaskan persembahannya pada malam tersebut kerana banyak pencahayaan.
“Alhamdulillah, saya kini semakin pulih, masih mengambil ubat dan akan kembali memulakan penggambaran tidak lama lagi,” kata Fatin.
Terdahulu, pelakon drama The Gadis itu pernah menarik perhatian pengikutnya dalam laman sosial yang memuji kebolehannya menyanyi dan memiliki suara yang lunak dalam program Vokal Mania.