PETALING JAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Top Glove, Klang, Selangor ditamatkan hari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati terdapat trend penurunan kes positif yang dilaporkan dan tiada lagi sampel saringan yang menunggu keputusan.
“KKM telah melaksanakan sebanyak 5,805 saringan dan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 4,305 kes di asrama lelaki di Jalan Abadi 1A/KU8, asrama wanita di Jalan Abadi 1A/KU8 dan Jalan Abadi 10A/KU8.
“Sehingga kini, semua kes negatif juga telah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah
(HSO) selama dua kali tempoh inkubasi Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, sehingga kini, daripada 28 kilang yang telah ditutup, 14 kilang telah dibenarkan beroperasi semula selepas semua pekerja disaring dan kilang telah disanitasi, manakala baki 14 kilang lagi akan dibuka secara berperingkat.
“Pihak pengurusan Top Glove juga diarahkan untuk mematuhi arahan berkaitan pengurusan wabak Covid-19 di kalangan pekerja selepas penamatan PKPD ini,” jelasnya. – K! ONLINE