PETALING JAYA – Seorang lelaki warga Nigeria yang dipercayai bertindak mencampak cucu tirinya dari tingkat tiga di Apartmen Villa Danau, Setapak pada 30 November 2020 dihadapkan ke Mahkamah Kuala Lumpur Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, suspek berhadapan lima pertuduhan di mahkamah termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Menurut beliau, lelaki itu turut berhadapan pertuduhan Seksyen 307 (cubaan membunuh), Seksyen 325/326A (mendatangkan kecederaan), Seksyen 377 CA (kesalahan seksual) dan Seksyen 309 (cubaan membunuh diri) yang masing-masing di bawah Kanun Keseksaan.
“Kertas Siasatan telah dimajukan kepada Jabatan Peguam Negara Putrajaya pada 10 Disember lalu pada pukul 9.40 pagi dan arahan pertuduhan keatas suspek telah diterima.
“Suspek telah dituduh di mahkamah pada 11 Disember 2020 di bawah Seksyen 302, Seksyen 307, Seksyen 309, Seksyen 325/326A dan Seksyen 377 CA KK,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Nik Ros Azhan berkata, suspek berusia 42 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak salah di mahkamah dan kini ditahan di penjara.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, warga Nigeria tersebut dipercayai bertindak mencampak cucu tirinya dari tingkat tiga Apartmen Villa Danau gara-gara berang gagal merogol anak tirinya.
Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, mangsa, Muhammad Adam Sufi Muhd. Norkhusairi, 4, ditemui maut dalam keadaan tidak berseluar sebelum disusuli dengan kejadian suspek bertindak terjun dalam keadaan bogel.
Pemeriksaan awal polis mendapati suspek dipercayai mengalami masalah mental kerana mengambil ubat-ubatan berkaitan penyakit tersebut.
Bagaimanapun, polis beberapa hari kemudian mengesahkan warga Nigeria tersebut tiada masalah mental selepas menjalankan siasatan ke atas anak tirinya dan penghuni lain yang tinggal di rumah tersebut bersama suspek.