SACRAMENTO, California – Kenderaan solar elektrik yang tidak perlu dicas keluaran Aptera berharga $26,000 (RM105,339) seunit, habis dijual dalam masa 24 jam sahaja, demikian menurut syarikat berkenaan.
Teknologi milik Aptera dikenali sebagai Never Charge itu terdiri daripada pakej solar bersepadu menyediakan pemanduan ‘percuma’ lebih 64 kilometer dalam sehari.
Menurut akhbar The Daily Mail, Aptera adalah kereta pertama di dunia yang tidak memerlukan petrol atau kuasa elektrik untuk pemanduan harian.
Kereta itu juga dilengkapi pek bateri untuk perjalanan sejauh 1,609 kilometer berbanding jarak 595 kilometer pada kenderaan Model S milik Tesla.
Pengasas bersama Aptera, Chris Anthony berkata, teknologi Never Charge menyaksikan kuasa dijana oleh kehebatan cahaya matahari.
“Susunan panel solar sedia ada pada kereta kami menggurangkan penggunaan pek bateri dan pemandu boleh memandu ke mana sahaja tanpa halangan,” katanya.
Kereta Aptera boleh dimiliki dengan membuat tempahan awal bermula 4 Disember lalu dengan harga bermula dari AS$25,900 (RM104,933) hingga AS$46,900 (RM190,015) bagi pacuan empat roda.
Kenderaan itu dijana motor elektrik penyejukan cecair dan boleh memecut dari kelajuan sifar hingga 96 kilometer sejam dalam masa 3.5 saat, manakala kelajuan maksimum adalah 177 kilometer sejam. –Agensi