PETALING JAYA – Pelakon lelaki popular, Saharul Ridzwan menitipkan pesanan kepada peminatnya agar sentiasa menjaga solat dan hubungan dengan Allah SWT untuk mengelak daripada terkena gangguan sihir.
Perkongsian tersebut dimuat naik Saharul atau nama sebenarnya Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 31, dalam satu hantaran Instagramnya semalam.
Menurut pelakon yang kini popular menerusi drama Cinta Sekali Lagi itu, dia menegaskan bahawa ilmu syirik dan sihir sememangnya wujud dalam kalangan masyarakat pada hari ini.
“Tiada daya upaya kita dalam apa apa sekalipun, kecuali dengan izin Allah. Apa yang baik, kita jadikan semangat.
“Semua yang buruk kita tolak jauh-jauh. Semoga kita semua dilindungi Allah SWT dan yang penting jangan tinggal solat serta banyakkan berdoa,” katanya.
Dia bagaimanapun sedih kerana penggunaan ilmu sihir dan sifat hasad dengki masih berleluasa dalam masyarakat pada hari ini.
Dalam pada itu, dia berterima kasih kepada semua yang telah menonton drama lakonannya Cinta Sekali Lagi yang turut membariskan pelakon hebat lain seperti Nelydia Senrose dan Hannah Delisha.
Drama tersebut menjadi sohor kini dan menjadi bualan netizen dalam media sosial kerana menyelitkan elemen mistik iaitu penggunaan ilmu hitam untuk menundukkan lelaki dan meruntuhkan rumah tangga orang lain.
Terdahulu, pelakon drama terbabit, Hannah turut menerima kecaman netizen dalam media sosial bahkan digelar Mak Lampir kerana membawa watak wanita bernama Amani yang mengguna ilmu sihir untuk memusnahkan kebahagiaan kakaknya, Amanda lakonan Nelydia. – K! ONLINE