LONDON – Kapten pasukan Everton, Gylfi Sigurdsson sangat teruja selepas menyaksikan rakan-rakan sepasukan memberi komitmen penuh untuk melakar kemenangan ke atas Chelsea dengan keputusan 1-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Goodison Park awal pagi semalam.
Sigurdsson yang menjaringkan gol tunggal perlawanan mengakui kehadiran seramai 2,000 penyokong ke dalam stadium telah menaikkan semangat pemain dalam usaha meleburkan rekod 17 perlawanan tanpa tewas skuad The Blues.
“Ini adalah keputusan cukup positif buat kami kerana saya lihat rakan-rakan sepasukan memberikan aksi penuh komited tidak kira secara pertahanan atau menyerang dengan tidak memberikan pasukan lawan mendominasi perlawanan dengan mudah.
“Secara jujur, kehadiran penyokong menjadi salah satu punca kenapa pemain kembali mendapat keyakinan dalam memburu kemenangan dan prestasi ampuh seperti yang dilakukan pada awal musim ini.
“Apa yang pasti, saya mahu kemenangan ini melonjakkan semangat pasukan untuk terus konsisten pada saingan musim ini kerana apa yang kita lalui sepanjang dua bulan lalu tidak begitu memberangsangkan,” katanya.
Sementara itu, pengurus Everton, Carlo Ancelotti percaya kualiti yang dimiliki oleh anak-anak buahnya setanding dengan skuad Chelsea yang dikendalikan oleh pengendali muda, Frank Lampard.
“Anda tidak boleh menang ke atas Chelsea jika pasukan tidak memiliki kualiti. Secara keseluruhan, saya sangat berbangga dengan apa yang dipamerkan oleh pemain dan saya percaya kami layak untuk menang kali ini,” katanya. – AGENSI