TANAH MERAH – Dua pengedar dadah berdepan hukuman mati mandatori apabila mereka ditahan polis dan memiliki pil kuda bernilai RM120,000 dalam dua tangkapan di sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md. Yusuf berkata, dalam tangkapan pertama, polis menahan seorang lelaki berusia 47 tahun di tepi jalan di Kampung Bukit Gading di sini pukul 3.15 petang.
Katanya, sebelum tangkapan dijalankan, anggota polis telah membuat pemerhatian di lokasi tersebut selama 10 minit sebelum melihat sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza berhenti dan mematikan kereta di tepi jalan.
“Anggota polis telah mendekati kereta itu dan melihat suspek membuang sesuatu daripada tangan kanannya sebelum cuba melarikan diri.
“Selepas berlaku pergelutan, polis berjaya menahan suspek dan menemui 8,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM80,000 telah dibuang oleh lelaki itu sebelum ditangkap,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Zainuddin, pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu turut menemui wang tunai sebanyak RM500.
Sementara itu, dalam tangkapan kedua, polis menahan seorang lelaki berusia 21 tahun di tepi jalan Wan Ahmad di sini kira-kira pukul 6.45 petang pada hari sama.
Katanya, pemeriksaan di dalam poket seluar pendek yang dipakai suspek membawa kepada penemuan 10 paket plastik berwarna biru yang dipercayai mengandungi 4,000 bijil pil kuda dianggarkan bernilai RM40,000.
Menurutnya, sebelum tangkapan dijalankan, polis telah membuat risikan awal mengenai kegiatan yang dijalankan oleh suspek.
“Berdasarkan tangkapan kedua-dua suspek, mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mereka tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.-K! ONLINE