SUNGAI PETANI – Dua lelaki yang diburu polis kerana disyaki terlibat kes samun sebuah premis ejen insurans di Taman Intan di sini pada 2 Disember lalu berjaya ditahan semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, sepasukan anggotanya menahan dua suspek berusia 26 dan 27 tahun itu di dua lokasi berasingan di daerah ini pada pukul 4 petang.
“Suspek pertama berusia 27 tahun yang dikenali sebagai Wan Black seorang penganggur ditahan di Bandar Utama di sini bersama sebotol gas pemedih mata dipercayai digunakan untuk menyembur mata mangsa dalam kejadian itu.
“Manakala suspek kedua berumur 26 tahun dan dipanggil Pipit bekerja sebagai kelindan lori ditahan di Batu 2, Jalan Kuala Ketil bersama sebilah pisau berukuran 24 sentimeter disyaki bahan bukti dalam kejadian itu,” katanya di sini hari ini.
Menurut Adzli, semakan rekod mendapati Pipit mempunyai empat kesalahan jenayah lampau, manakala Wan Black satu kes membabitkan samun dan kedua-duanya negatif dadah. – K! ONLINE