fbpx

DCP antara 29 pegawai, anggota polis disiasat kes Addy Kanna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zamri (tengah) ketika majlis serah terima tugas Ketua Polis Selangor antara Noor Azam (kiri) dan Arjunaidi (kanan) di IPK Selangor hari ini.

SHAH ALAM – Seorang pegawai kanan berpangkat Deputi Komisioner (DCP) antara 29 pegawai dan anggota polis yang disiasat berhubung kes sindiket Macau Scam dan judi dalam talian membabitkan Addy Kana.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, semua individu itu kini digantung tugas bagi membantu siasatan yang dijalankan pihaknya secara menyeluruh.

Katanya, siasatan juga sedang dijalankan terhadap seorang pegawai berpangkat Inspektor yang dipercayai memiliki wang simpanan berjumlah RM1 juta.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dengan dia (Inspektor) mendakwa wang itu diperoleh daripada bapanya. Kita tidak menolak kemungkinan lebih ramai pegawai akan disiasat kelak.

“Siasatan dijalankan mengikut Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan menjangkakan perkara itu dapat diselesaikan pada Januari depan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Jawatan Pemangku Ketua Polis negeri itu kini dipegang Datuk Arjunaidi Mohamed menggantikan Datuk Noor Azam Jamaludin yang bersara wajib hari ini.

Dalam perkembangan berlainan, Zamri menegaskan kira-kira 3,000 aduan berhubung salah laku warga polis di seluruh negara diterima pada setiap tahun.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 10 peratus atau 300 kertas siasatan dibuka termasuk melibatkan kes dadah, tidak menjalankan tugas dan menjalankan hubungan intim untuk tindakan lanjut termasuk diberhentikan perkhidmatan,” katanya.

Pada 1 Disember lalu, media melaporkan dalang utama kegiatan perjudian dalam talian, Alvin Goh dan Addy Kanna serta dua anggota polis ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) selama dua tahun.

Alvin atau nama sebenarnya Goh Leong Yeong, 32, ditahan di Penjara Simpang Renggam, Johor manakala Addy Kanna pula di Penjara Pokok Sena, Kedah. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI