fbpx

CIC berjaya realisasikan sistem pembelajaran secara online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sembang Korporat

“Jika berfikir ke arah menjana hasil dan keuntungan, perniagaan berteraskan pendidikan prasekolah bukanlah perniagaan yang terbaik untuk dipilih.

“Tetapi saya memilih bidang ini kerana minat yang sangat mendalam dan kepuasan saya adalah ketika melihat pembangunan kanak-kanak yang mana asalnya dulu datang (ada yang menangis) tetapi sekarang CIC telah mengubah mereka menjadi seorang kanak-kanak yang bijak, bersemangat dan berkeyakinan diri,” demikian menurut Pengasas CIC, Qutren Nada Ahmad dalam satu temu bual di Cyberjaya baru-baru ini.

Usaha berterusan beliau dengan sokongan daripada pelbagai pihak membolehkan CIC yang berusia 23 tahun itu kini menempa pelbagai kejayaan sehingga menjadi antara peneraju dalam industri tersebut.

CIC kini beroperasi di 70 cawangan di seluruh negara dan memiliki purata sehingga 4,000 pelajar berumur enam tahun ke bawah setiap tahun.

 

Kosmo!: Pandemik Co­vid-19 telah membawa satu pembaharuan besar kepada sektor pendidikan dan pem­belajaran secara online menjadi satu norma baharu bagi pelajar, bagaimana CIC melaksanakan pembelajaran tersebut?

Segalanya berjalan lancar semasa bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke­rana saya telah memberi arahan lebih awal kepada tenaga pengajar untuk bersedia ke arah pembelajaran secara online. Saya maklumkan kepada mereka bahawa sesi pembelajaran tidak boleh berhenti meskipun dalam PKP. Sebenarnya inisiatif untuk membuat sesi pembelajaran secara online telah lama diutarakan kepada para cikgu di sini kerana ia berkaitan dengan kecekapan tetapi ketika itu, mereka tiada tekanan untuk melakukannya. Sekarang mereka di CIC begitu mahir mengendalikan pembelajaran secara online dan saya bersyukur kerana kami memiliki satu kumpulan tenaga pengajar yang kuat dalam bidang ini.

Bagaimana pula sambutan daripada ibu bapa?
Sungguh menggalakkan dan mereka memberi kerjasama yang baik dalam usaha kami sepanjang ini. Saya mahu berkongsi satu testimoni daripada satu keluarga yang telah mendaftarkan anak mereka yang berusia tiga tahun di CIC pada tahun ini, kanak-kanak itu dihantar ke sini semata-mata untuk dia berkawan dan bergembira di sekolah tetapi selepas tiga bulan belajar, PKP dikuatkuasakan dan semua pelajar tidak boleh hadir ke sekolah dan apa yang dibanggakan ialah anak kecil ini telah menunjukkan pembaharuan yang cukup baik dalam kelas onlinenya di rumah. Dia sekarang boleh membaca dan menunjukkan minat untuk belajar. Testimoni positif begini memberi suntikan semangat yang baik buat para cikgu yang telah memberi komitmen yang tinggi dalam tugasan mereka mengendalikan kelas secara online bersama pelajar masing-masing.

Apa perancangan terba­haru CIC khususnya dalam norma baharu ini?
Kami menawarkan program Young Leaders Distance Ler­ning iaitu pembelajaran secara online yang terbuka kepada pelajar yang jauh khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan yang tidak mempunyai cawangan CIC dan bagi mereka yang gemar belajar di rumah tetapi mahu mengikuti program CIC. Ia terdiri daripada program jangka pendek dan juga jangka panjang. Program ini fleksibel dan mudah bagi pelajar mempelajari silibus yang dirangka mengikut umur dan sesuai untuk mereka membiasakan diri sebelum melangkah ke alam persekolahan sebenar.

Setiap tahun CIC ada tema yang berbeza dengan objektif menarik, jadi bagaimana pula dengan tahun 2021?
Kempen untuk tahun depan adalah Higher We Rise, kami telah membuat perancangan awal untuk membolehkan segala­ perancangan ke arah kempen tersebut dapat direalisasikan. Higher We Rise memberi makna bahawa segala ujian dan cabaran yang dihadapi akan kami hadapi bersama dan dapat menga­tasinya ibarat berada dalam satu kapal, kami akan bersama-sama menjaga kapal tersebut meskipun dihempas ombak tetapi ia membuatkan kami kuat berjuang hingga ke peringkat yang lebih tinggi lagi.
Apakah antara aktiviti yang akan dijalankan dalam misi tahun depan?
Antaranya ialah Higher We Rise Dream Corner; CIC Prihatin yang melibatkan program kebajikan bersama warga tua atau golongan yang memerlukan, aktiviti menabung dan bantuan derma; Un-Bee-Liveable Speller adalah pertan­dingan untuk pelajar mempraktik kemahiran mengeja; CIC’s Pocket yang mana ia adalah pertandingan mengenal, me­ngira dan membeli barangan menggunakan duit di kompleks membeli-belah oleh pelajar CIC dan Young Huffaz Competition adalah pertan­dingan hafazan surah dan doa-doa bagi membina jati diri serta­ keyakinan pelajar.

Adakah CIC terkesan de­ngan pandemik Covid-19?
Pada mulanya ramai yang terkejut dengan kesan daripada Covid-19 dan kira-kira dua peratus daripada kumpulan ibu bapa mahu mengeluarkan anak mereka daripada CIC kerana bimbang tidak dapat memberi komitmen termasuk bayaran yuran dan juga kelas secara online.
Tetapi setelah melihat sendiri kejayaan kami mengendalikan pembelajaran secara online, ia telah meningkat keyakinan mereka­ terhadap usaha kami malah ada juga yang menyokong jika pembelajaran tersebut diterus­kan. Kanak-kanak juga suka dan memberi kerjasama yang baik untuk mengikuti pembelajaran secara online de­ngan baik di rumah.

Setelah berusia 23 tahun CIC berbakti kepada masyarakat, adakah puan berpuas hati dengan pencapaiannya sehingga kini?
Sebenarnya banyak lagi yang perlu dibuat untuk penambahbaikan tetapi saya berpuas hati dengan pencapaian CIC. Antara faktor penyumbang adalah ke­rana saya memiliki tenaga pe­ngajar yang komited, pencapaian dan testimoni positif daripada pasaran. Apa yang saya banggakan adalah apabila melihat CIC hanya daripada sebuah premis kosong dibangunkan menjadi pusat pembelajaran yang lengkap dan cantik. Saya juga sa­ngat berbangga apabila melihat ribuan pelajar keluar dari pusat ini de­ngan ilmu yang lengkap dan berjaya mengubah mereka daripada seorang yang datang dengan air mata ketika sesi pendaftaran tetapi kini begitu berani­ beraksi di atas pentas. Lebih menarik ada juga cikgu yang setia ber­khidmat sehingga sampai ke umur persaraan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI