JOHOR BAHRU – Pusat perniagaan B5 Johor Street Market di sini akan diarah untuk menghentikan sementara operasi perniagaan bermula pukul 6 petang semalam hingga 19 Disember depan.
Arahan penutupan itu dibuat dipercayai kerana terdapat penularan kes positif Covid-19 di sekitar premis berkenaan.
Berdasarkan satu notis yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia, penutupan itu dibuat bagi membolehkan kerja sanitasi dijalankan.
“B5 Johor Street Market akan ditutup sementara bermula pukul 6 petang hari ini (semalam) hingga 19 Disember.
“Penutupan ini bertujuan untuk menjalankan kerja-kerja mencegah bermulanya atau merebaknya sesuatu penyakit berjangkit,” jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, Notis Perintah Tutup Premis itu dibuat mengikut Subseksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr. Aman Rabu ketika dihubungi mengesahkan notis itu.
Katanya, penutupan operasi itu adalah untuk memberi ruang melakukan sanitasi serta memenuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.-K! ONLINE