LONDON – Impian Manchester United untuk kembali mengejar kelompok teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak kesampaian apabila pasukan tersebut sekadar mengutip satu mata selepas seri 0-0 ketika melayan kunjungan Manchester City di Old Trafford awal pagi semalam.
Meskipun mengutip satu mata, pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer nyata gembira dengan prestasi anak-anak buahnya selepas mempamerkan aksi terbaik ketika berdepan The Citizens.
Aksi itu boleh disifatkan satu kejayaan buat The Red Devils sekali gus melenyapkan kekecewaan mereka selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara di peringkat kumpulan pada Rabu lalu.
Hasil keputusan itu, United kini di kedudukan ketujuh liga, lima mata di belakang Tottenham yang berada di persada, manakala City di tangga kesembilan.
“Keputusan menentang City hari ini merupakan persembahan terbaik yang pernah kami pamerkan. Bukanlah keputusan bagus tapi persembahan yang terbaik mereka tunjukkan malam ini.
“Saya tahu kami sudah menewaskan mereka musim lalu tetapi itu perlawanan berbeza. Pemain tampil dengan aksi cukup menarik dan mengekang asakan pemain City dalam kotak penalti.
“Pemain City melakukan beberapa percubaan dan David De Gea melakukan tugasnya cukup baik pada hari ini. Meskipun diasak cukup hebat, namun mereka dapat mengawal rentak permainan dengan cukup berdisiplin.
“Secara keseluruhan saya sangat gembira dengan apa yang mereka tunjukkan. Mereka bersungguh-sungguh dan hasilnya kami meraih satu mata berharga,” kata Solskjaer. – AGENSI