TANGKAK- Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan pekebun sayur di Sengkang Batu 18, Bukit Gambir di sini, untuk memajukan kawasan itu kepada orang ramai bagi menarik tumpuan pengunjung.
Urusetia Peladangan Berkelompok di Sengkang Batu 18 dan 19, Tan Chee Kiong berkata, kewujudan kebun sayur berkeluasan lebih 400 ekar ini sememangnya sesuai dijadikan sebagai salah satu destinasi agro pelancongan berikutan lambakan pelbagai jenis tanaman yang mampu dibekalkan.
“PM menyarankan agar kami membina sebuah pusat sehenti bagi menjayakan agenda ini. Bermaksud pengunjung yang datang ke sini dapat melihat kaedah penanaman sayur itu secara dekat.
“Selain itu, kewujudan restoran di sini juga amat sesuai kerana jika ada sayur yang dipetik oleh pengunjung, ia boleh terus digoreng.
“Malah, beliau juga mencadangkan agar pusat sehenti ini menyediakan kedai cenderahati untuk pengunjung boleh membeli baju dan topi. Maknanya, jika mereka datang ke kebun sayur ini, pengunjung boleh merasai pengalaman sebagai seorang pekebun sekaligus meningkatkan agro pelancongan daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas lawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir di kebun sayur Jalan Sengkang Batu 18, Bukit Gambir, Tangkak, sebentar tadi.
Chee Kiong berkata, pihaknya percaya usaha itu dapat dijayakan memandangkan Bukit Gambir kini turut memiliki tarikan lain seperti Gunung Ledang serta sawah padi.
Jelasnya, ladang yang diusahakan itu mengandungi 16 jenis sayuran dihasilkan selain buah-buahan yang menjadikan ia lokasi unik bagi menarik pelancong yang ingin merasai pengalaman berbeza.-K! ONLINE