MELBOURNE – Seorang wanita di Central Coast, Australia tular di media sosial apabila dia mencari calon suami di kedai menjual alat perkakasan rumah Bunnings Warehouse, baru-baru ini.
Wanita itu bertindak sedemikian selepas berputus asa dengan aplikasi cari jodoh online yang tidak berjaya mendapatkannya seorang teman lelaki.
Leesh Cunningham, 26, yang tinggal di New South Wales, berkongsi video di TikTok yang memaparkan dia dalam misi mencari suami di kedai alat perkakasan rumah itu.
Menerusi klip lucu itu, Cunningham dilihat berkeliaran di setiap lorong kedai dan bertanya kepada staf Bunnings jika mereka mempunyai stok lelaki di situ.
“Apa yang anda lihat adalah apa yang anda dapat, saya tidak malu.
“Memandangkan saya masih bujang, jadi saya fikir tempat terbaik untuk mencari teman lelaki adalah di kedai alat perkakasan rumah yang dikuasai lelaki.
“Aplikasi temu janji hanya membuka ruang untuk satu jenis lelaki sahaja tapi saya mahukan pilihan,” katanya.
Walaupun tidak berjaya mencari pasangan, Cunningham yang bekerja sebagai pengurus cawangan syarikat sewa kereta dibanjiri dengan pesanan Instagram dari beberapa peminat yang sangat berminat.
“DM saya (mesej langsung di Instagram) dibanjiri mesej rawak daripada semua peringkat umur,” katanya kepada Daily Mail Australia.
Leesh meluahkan rasa terharu apabila video itu berjaya mendapat lebih daripada 180,000 kali tontonan. – Agensi