Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
DUNGUN – Penduduk Kampung Molek di sini dalam dilema selepas Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, Kampung Molek di sini menjadi sarang pembiakan lebih 20 ekor anjing liar.
Koloni anjing liar termasuk anak yang baru dilahirkan berkeliaran di kawasan tanah perkuburan itu sejak lebih empat bulan lalu.
Seorang penduduk, Hassan Ahmad, 54, berkata, kehadiran kumpulan anjing liar berkenaan turut memberi ancaman apabila sering mengejar penduduk yang memasuki kawasan perkuburan tersebut bagi menziarahi pusara.
“Kawasan perkuburan itu juga telah tercemar dengan najis anjing. Tambah menggusarkan, haiwan liar ini mengorek tanah di bahagian kepok kubur untuk dijadikan tempat tidur.
“Walaupun Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya ini berpagar tetapi anjing-anjing liar itu telah bertindak mengorek tanah berhampiran pagar,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Hanafiah Hitam, 45, pula berkata, sebahagian anjing dewasa berkenaan kini sudah berani berkeliaran di kawasan Kampung Molek untuk mencari makanan.
“Beberapa minggu lepas, ayam kampung milik penduduk turut dimakan haiwan itu,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Molek, Mansor Ismail berkata, Majlis Perbandaran Dungun (MPD) telah melakukan operasi menangkap anjing liar di kawasan tanah perkuburan itu sebelum ini namun pendekatan itu tidak berkesan.