KUALA SELANGOR – Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati di dalam sebuah kereta yang berkunci di tempat meletak kenderaan di pasar raya Tesco di Taman Bendahara hari ini.
Dalam kejadian pukul 10.15 pagi, mangsa dikenali Syamsul Siniden,47, tidak sedarkan diri dalam kereta jenis Perodua Myvi.
Saksi kejadian, Zainal Abidin Musbah, 59, berkata, pada awalnya dia menyangkakan mangsa sedang tidur ketika meletakkan kenderaan berdekatan kereta lelaki itu.
Katanya, seorang wanita kemudiannya menghampirinya memaklumkan suaminya tidak sedarkan diri di dalam Myvi berkenaan.
“Saya kemudiannya cuba membuka pintu kereta namun gagal sebelum menghubungi pihak bomba,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor,Hafisham Mohd. Noor berkata, seramai 11 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor telah dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 10.39 pagi.
“Peralatan khas digunakan bagi membuka kereta tersebut sebelum mendapati mangsa tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat dan proses sanitiasi telah dijalankan di lokasi kejadian,” jelasnya. -K!ONLINE