BANGALORE , India – Pihak berkuasa berjanji akan menangkap pekerja yang terlibat dalam rusuhan ganas di sebuah kilang iPhone yang diuruskan majikan dari Taiwan di selatan India.
Kumpulan pekerja itu merusuh kerana mendakwa mereka tidak dibayar gaji dan menjadi mangsa eksploitasi majikan.
Mereka merusuh semalam di kilang Wistron Infocomm di pinggir bandar Bangalore yang menjadi hab teknologi maklumat (IT) India. Rakaman video keganasan itu menunjukkan kumpulan pekerja yang berang bertindak memecahkan panel kaca dan menterbalikkan kereta.
Rakaman sistem televisyen litar tertutup yang dikongsi di media sosial memaparkan sebuah kereta turut dibakar.
Media tempatan melaporkan pekerja-pekerja sebagai berkata bahawa mereka tidak dibayar gaji selama empat bulan dan dipaksa bekerja syif tambahan.
“Situasi kini terkawal. Kami telah membentuk pasukan khas untuk menyiasat insiden tersebut,” kata polis tempatan kepada agensi berita AFP hari ini sambil menambah, tiada kecederaan berlaku.
Timbalan Ketua Menteri Negeri Kartanaka, C.N. Ashwathnarayan menyifatkan keganasan berlaku tanpa provokasi dan berkata, kerajaannya akan memastikan situasi tersebut diselesaikan dengan segera.
“Kami akan memastikan hak semua pekerja dilindungi dan segala bayaran yang menjadi hak mereka dibayar,” katanya dalam satu kenyataan di Twitter semalam.
Sementara itu, Wistron di Taiwan memberitahu AFP bahawa insiden itu berpunca daripada kumpulan individu tidak dikenali yang menceroboh dan merosakkan fasiliti kilangnya tanpa sebab yang diketahui.
Tambah kenyataan majikan tersebut, pihaknya berjanji akan mematuhi undang-undang buruh tempatan dan peraturan berkaitan lain serta akan menyambung operasi kilang seberapa segera yang boleh.
Bagaimanapun, ketua sebuah kesatuan sekerja tempatan mendakwa bahawa pekerja-pekerja di kilang pembuatan iPhone itu dieksploitasi dan bekerja dalam persekitaran daif.
“Kerajaan negeri membenarkan syarikat itu melanggar hak asasi,” kata ketua tersebut yang dikenali sebagai Satyanand kepada akhbar The Hindu.
Menurut media tempatan, kilang tersebut menggaji sekitar 15,000 pekerja. – AFP