LONDON – Persatuan Pasukan Perlumbaan Jalan Raya Antarabangsa (IRTA) mengumumkan bahawa 11 pasukan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) kemungkinan akan berlepas ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk melakukan persiapan ujian pramusim pada 19 hingga 21 Februari 2021.
Difahamkan, sesi ujian pramusim itu telah mendapat kebenaran daripada kerajaan Malaysia meskipun kes pandemik Covid-19 di seluruh dunia dilihat semakin meningkat, manakala pintu sempadan negara juga belum dibuka.
Bagaimanapun, sehingga sekarang belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada MotoGP dan juga pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP iaitu Dorna mahupun kerajaam Malaysia sendiri.
Sesi ujian pramusim tersebut akan dijalankan secara tertutup dan kehadiran pengunjung untuk melihat sesi ujian tersebut tidak dibenarkan.
“Ketika ini persiapan telah dilakukan dan kontena dijangka berlepas minggu depan ke Sepang untuk menjalani sesi ujian pramusim pertama .
“Kami telah melakukan segala persiapan mengenai sesi ujian tersebut yang dijangka diteruskan pada Februari, Mac dan April 2021,” kata Presiden IRTA, Herve Poncharal semalam.
Jika sesi ujian di Sepang berjaya, maka Qatar akan menjadi tuan rumah kedua sesi ujian pramusim yang dijangka berlangsung pada 10 hingga 12 Mac sebelum saingan pembukaan bermula dua minggu selepas itu. – AGENSI