fbpx

Luaskan peranan Risda seiring dengan perubahan ekonomi, teknologi semasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abd Latiff (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan zakat kepada wakil penerima sempena program perasmian Kasihi Pekebun dan Penyampaian Zakat Risda di Kampung Tanjung Tuan, Mersing hari ini. Foto MASTURAH SURADI

MERSING – Dasar Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dilihat perlu dikaji semula dengan mengambil kira sudut fungsinya terutama dalam membangunkan pekebun kecil dan masyarakat luar bandar.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkata, saranan itu bagi membolehkan peranan agensi berkenaan diperluaskan seiring dengan perubahan ekonomi dan teknologi semasa negara.

“Risda mempunyai kepakaran dalam pengurusan mahupun pembangunan tanaman getah dan kelapa sawit, termasuk industri sampingan kepada masyarakat luar bandar.

“Kita (kerajaan) mahu simpan bakat luar bandar itu berada di luar bandar. Kita tidak mahu luar bandar ini dihuni oleh orang tua.

“Perlu ada bakat orang muda di luar bandar. Dengan teknologi mahupun revolusi, ini semua boleh dilakukan, sambil kita sama-sama menjaga kelestarian luar bandar,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Kasihi Pekebun dan Penyampaian Zakat Risda di Kampung Tanjung Tuan, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Risda, Abdullah Zainal.

Abd. Latiff berkata, jika penstrukturan semula dasar itu dimurnikan dan dikemaskini beliau yakin lebih ramai mereka yang berada di luar bandar akan dapat menikmati manfaatnya.

“Perubahan yang dilakukan juga perlu secara menyeluruh, pada masa sama melihat daripada segi sekuriti makanan dan keselamatan makanan, sekali gus meningkatkan impak tinggi ekonomi kepada masyarakat,”katanya lagi.

Terdahulu, pada program berkenaan, Risda dengan kerjasama Yayasan Risda turut menyampaikan zakat berjumlah RM66,400.

Zakat diserahkan kepada 60 penerima terdiri daripada masyarakat orang asli dalam kalangan asnaf fakir, miskin dan mualaf, selain dua madsarah tahfiz serta sebuah masjid di Mersing.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI