PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) merakamkan penghargaan terhadap syarikat penerbangan kargo tempatan, My Jet Xpress Airlines Sdn. Bhd. (MyJet) di atas sokongan bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Rohaizat Yon berkata, My Jet Xpress telah memainkan peranan dalam membendung wabak Covid-19 di negara ini melalui penghantaran barang keperluan aktiviti kawalan Covid-19 ke Sabah dan juga negeri-negeri lain.
Beliau berkata, sebagai tanda penghargaan ke atas usaha dan pengorbanan barisan hadapan negara, My Jet Xpress turut mengabadikan paparan imej karikatur barisan hadapan pada salah sebuah badan pesawat mereka.
“Paparan imej itu dipaparkan pada badan kapal terbang terbaharu My Jet Xpress yang dinamakan Al-Fateha,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook semalam.
Katanya, hari ini beliau mewakili Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pada majlis penghargaan kepada barisan hadapan anjuran My Jet Xpress dan pelancaran pesawat kargo terbaharu syarikat itu.
Pada majlis sama, My Jet Xpress turut menyampaikan sumbangan dana sebanyak RM10,000 dan seribu set peralatan perlindungan diri (PPE) kepada KKM sebagai tanda penghargaan ke atas pengorbanan barisan hadapan.
Rohaizat berkata, beliau berharap usaha yang dilakukan My Jet Xpress akan menjadi penunjuk arah ke banyak lagi inisiatif sama melalui penggembelengan tenaga, sumber dan kepakaran dalam menamatkan wabak Covid-19 di negara ini. -K!ONLINE