SAINGAN Liga Premier musim depan dijangka sengit dengan penyertaan pasukan Skuad Projek Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)-Majlis Sukan Negara (MSN) pada musim 2021 yang dibimbing oleh pengendali muda, Yusri Che Lah.
Pandangan tersebut disuarakan oleh ketua jurulatih Perak II, Abu Bakar Fadzim yang percaya kemunculan pasukan ala Harimau Muda itu mampu memberikan pendedahan berguna kepada pemain-pemain berusia 20 tahun ke bawah.
Kata Abu Bakar, persaingan melibatkan ubi muda dengan empat pasukan reserve seperti Perak II, Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Selangor 2 dan Terengganu FC II mampu menjadi elemen menarik dalam saingan Liga Premier.
“Sebagai jurulatih yang banyak melatih bakat muda, saya rasa Skuad Projek FAM-MSN ini tepat pada masanya bagi jangka masa panjang dan situasi ini juga baik kepada pasukan yang akan bersaing pada Liga Premier pada musim depan.
“Pemain-pemain ini perlukan satu transisi dalam karier di peringkat remaja ke senior untuk mematangkan cara permainan dan peluang bermain pada Liga Premier.
“Kehadiran skuad projek juga akan melihat kita akan lalui tambahan dua lagi perlawanan dan ini sesuatu yang baik kerana sebelum ini kita difahamkan hanya 10 pasukan sahaja pada Liga Premier.
“Apa yang penting dengan aksi di Liga Premier, kita harap boleh membantu mereka sebagai satu pasukan sebagai persediaan untuk kejohanan-kejohanan utama di luar negara terutama Sukan SEA 2021,” katanya.