HULU TERENGGANU – Rakyat tidak perlu gusar hingga melakukan pembelian panik berikutan ramalan pakar luar negara yang menjangkakan pandemik Covid-19 di negara ini bakal bertambah buruk pada awal tahun hadapan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid percaya kerajaan telah mengambil langkah terbaik menangani Covid-19 seperti pembekalan vaksin secara percuma tidak lama lagi walaupun pakar Amerika Syarikat meramalkan negara ini akan merekodkan 5,000 kes harian menjelang bulan Mac depan.
Beliau berkata, kerajaan juga memberi jaminan barangan keperluan terutama gandum, gula, beras, telur ayam dan minyak masak sentiasa mencukupi dan tidak akan naik mendadak harganya di sebalik spekulasi berkenaan.
“KPDNHEP sentiasa memastikan barangan keperluan sentiasa mencukupi di pasaran dan terkawal harganya.
“Sehubungan itu, saya nasihatkan pengguna tidak terlalu gusar hingga melakukan pembelian panik disebabkan ramalan berkenaan,” katanya selepas melawat di projek Berkelompok Fertigasi Pela di Kampung Pela di sini hari ini.
Rosol berkata, setakat ini, tiada kes pembelian panik dilaporkan di negara ini kecuali pada fasa awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac lalu.
Sebelum ini, pakar dari China turut meramalkan kes penularan Covid-19 di Malaysia menjadi lebih serius pada tahun hadapan dengan bakal mencecah sehingga 187,997 kes menjelang 25 Januari tahun depan. – K! ONLINE