fbpx

Hubungan retak kerana adik angkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AIN berkecil hati dengan bapanya sejak usia kanak-kanak lagi kerana merasakan bapanya bersikap pilih kasih.– GAMBAR HIASAN

JIKALAU disebut tentang berkecil hati, Ain, 30, (bukan nama sebenar) sudah lali dan memendam perasaan itu sejak berusia 11 tahun.

Segalanya bermula apabila bapanya membawa pulang seorang anak angkat perempuan berusia sembilan tahun pada ketika itu.

Ain cukup gembira dengan kehadiran Nini (bukan nama sebenar) kerana dapat mengubati kesunyian di rumah.

Ain yang merupakan anak tunggal dalam keluarga berasa gembira kerana akhirnya mempunyai adik.

Nini yang pada ketika itu baru sahaja kehilangan kedua-dua ibu bapa dalam kemalangan jalan raya membuatkan ibu dan bapa Ain sangat bersimpati apatah lagi dia sebatang kara.

Pada awalnya, keluarga itu bahagia dan suasana dalam rumah semakin meriah.

Nini juga seorang yang periang sehingga riuh satu rumah bergelak ketawa.

Namun ketika waktu beredar, Ain mula merasakan bapanya seolah-olah berubah sikap dan lebih memberikan perhatian kepada Nini.

“Saya sering berkecil hati dengan ayah dalam banyak perkara dan merasakan dia pilih kasih.

“Alasan ayah dia berbuat demikian kerana ingin menggembirakan hati Nini kerana dia seorang yatim piatu dan bagi menghilangkan kesedihan serta kerinduan terhadap arwah ibu bapanya,” cerita pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta itu kepada Panorama.

Tanpa disedari, perbuatan bapanya melebihkan kasih sayang dan perhatian kepada Nini membuatkan anak kandung sendiri tersisih serta makan hati.

Mujurlah ibunya sering menasihatkan Ain dan selalu memberi kata-kata semangat agar dia tidak terlalu mengikut perasaan.

“Apabila diikutkan sakit hati ini, saya rasa malas hendak memandang muka ayah dan sering menjauhkan diri.

“Oleh itu, ayah mula melabel saya sebagai kurang ajar dan hubungan kami semakin retak,” tutur ibu kepada dua orang cahaya mata itu.

Tawaran belajar di United Kingdom digenggamnya kemas dan merasakan itu adalah peluang untuk dia pergi jauh daripada kesakitan tersebut.

 

SIKAP bapa yang melebihkan anak angkatnya, Nini berbanding anak sendiri membuatkan Ain rasa tersisih.– GAMBAR HIASAN

 

Sepanjang belajar di situ, tiga tahun Ain tidak pulang ke Malaysia, namun memikirkan ibu yang merintih merinduinya akhirnya digagahkan juga kaki melangkah ke rumah tersebut.

“Tipulah jika tiada perasaan merindui ayah tetapi sakitnya hanya Tuhan yang tahu.

“Apabila saya pulang, hanya ibu yang memeluk erat dan menangis air mata kerinduan, manakala ayah pula seolah-olah tiada perasaan dan berlalu pergi dari situ,” ujarnya.

Suasana tegang itu cuba diredakan oleh ibunya dan meminta Ain agar pulang segera ke Malaysia selepas tamat belajar.

Namun, rayuan ibu itu terbakar dalam api kemarahannya dan dia rasakan tidak ada gunanya pulang ke pangkuan keluarga jika hanya menambah lagi sakit hatinya.

“Saya mendirikan rumah tangga selepas tamat belajar dan bersyukur kerana Allah mengurniakan suami yang sangat baik dan bertanggungjawab.

“Suami sentiasa menasihatkan saya agar berbaik semula dengan ayah tetapi hati ini terlalu keras,” kata wanita berasal dari utara tanah air itu.

Panggilan telefon daripada ibunya pada satu pagi membuatkan dunia Ain seolah-olah berputar dan gelap sehingga dia jatuh pengsan.

“Perasaan pada ketika itu bercampur-aduk dan sukar untuk digambarkan.

“Ayah saya sudah tiada! Rupa-rupanya dia menderita kanser paru-paru dan saya tidak mengetahuinya,” tuturnya sambil menyapu air mata.

Ain berasa sangat kesal kerana tidak sempat berbaik dengan bapa dan meminta maaf di atas salah serta silapnya.

Sekeping surat tulisan arwah bapanya menjadi penawar kedukaan. Di lembaran putih itu tercatat luahan rasa si bapa.

“Di surat itu dia memberitahu telah mengampunkan segala dosa saya dan ayah meminta dimaafkan atas segala kesalahannya. Mak beritahu, ayah sangat merindui saya tetapi kerana kami berdua ego, maka masing-masing tidak mahu mengalah,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ain menitipkan pesan agar menyayangi ibu bapa. Sebagai seorang anak kita harus menghormati mereka walau dalam apa jua keadaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI