fbpx

Cipta kerusi roda terlaju di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERUSI roda elektrik ini dicipta oleh Liversidge dengan bantuan beberapa jurutera.

JASON Liversidge ialah seorang lelaki yang gemar melakukan aktiviti menguji adrenalin dan dia sendiri gemar bermain ski dan menunggang motosikal untuk kepuasan hidupnya.

Namun semuanya berubah ketika lelaki dari Britain itu menjangkau usia 37 tahun setelah Liversidge didiagnosis menghidap penyakit neuron motorik (MND).

Liversidge telah didiagnosis menghidap penyakit itu pada tahun 2013 tetapi dia telah merasakan penyakit itu telah melemahkannya sejak tahun 2008 lagi.

Masalah MND adalah sejenis penyakit yang melemahkan otak dan saraf secara progresif yang mana penawarnya masih belum ditemui.

Walaupun penyakit itu telah menyebabkan dia lumpuh bermula dari bahagian leher sehingga ke bawah manakala pergerakan badan hanya berfungsi sebanyak lima peratus, Liversidge ingin terus mendorong dirinya untuk melakukan aktiviti yang mencabar.

Dia yang mempunyai dua anak perempuan ingin meninggalkan legasi buat keluarganya dan memutuskan untuk melakukan rekod dunia.

Sejak tiga tahun lalu, Liversidge telah membina sebuah kerusi roda elektrik khas dengan bantuan jurutera Graham Sykes serta pakar kenderaan elektrik Ian Goodman dan Rod Heald.

Kerusi roda elektrik itu akhirnya telah diuji pada hujung minggu lalu di lapangan terbang Elvington dengan pemantauan Persatuan Pencatat Masa Britain.

Dua ujian pertama yang dilakukan Liversidge sekadar mencapai kelajuan 82 dan 84 kilometer sejam (km/j).

Pada percubaan ketiga dia telah meningkatkan voltan bateri dan melepasi kelajuan minimum yang ditetapkan iaitu 95km/j.

Kelajuan terakhir yang berjaya direkodkan adalah 107km/j sekali gus memecahkan rekod kelajuan terpantas kenderaan mobiliti elektrik atau kerusi roda elektrik.
Liversidge dapat mengendalikan kenderaan itu dengan menggunakan alat pengawal joystick.

 

BIARPUN lumpuh akibat penyakit MND tidak menghalang Liversidge mencipta rekod dunia di atas kerusi roda.

 

“Tubuh badan saya cuma perlu digerakkan satu milimeter atau lebih dan itu sudah memadai untuk membolehkan lengan saya bergerak mengawal joystick,” kata Liversidge.

Rekod kelajuan yang dilakukan oleh Jason itu mendapat pengiktirafan Guinness World Records.
Walaupun kemampuan fizikalnya terbatas, ini sebenarnya bukan kali pertama Liversidge melakukan aktiviti yang menguji adrenalin.

Pada tahun 2017, dia telah memanjat Gunung Snowdon yang berketinggian 1,085 meter dengan menggunakan kerusi roda.

Dia juga pernah melakukan aksi ekstrem pada ‘zipline’ terpanjang di Eropah serta turun menuruni lubang Lancaster Hole pada kedalaman 33.5 meter.

“Menghidap penyakit yang menyekat pergerakan bukanlah alasan untuk terus berhenti hidup.

“Inspirasi adalah kata yang sering disebutkan orang tetapi saya tidak menyukai istilah ini kerana saya hanya melakukan apa yang saya fikir tepat untuk saya dan keluarga,” kata Liversidge.

Anak perempuannya, Lily dan Poppy sangat bangga dengan pencapaian bapa mereka.

 

LIVERSIDGE mengendalikan kerusi roda elektriknya di lapangan terbang Elvington, Britain baru-baru ini.

 

“Saya sangat bangga dengan ayah saya, dia adalah ayah yang paling hebat di dunia,” kata Poppy.

“Saya sangat bangga dengan ayah kerana berjaya melakukan rekod dunia dan mengumpulkan wang untuk kerja amal,” ujar Lily pula.

Sehingga kini, Liversidge telah berjaya mengumpul sebanyak £5,467 (RM29,700) untuk menyokong Persatuan Penyakit Neuron Motorik melalui rekod dunia yang dilakukan itu.

“Terlalu banyak orang kehilangan orang tersayang kerana penyakit ini. Melalui usaha yang saya lakukan mudah-mudahan lebih ramai orang mengetahui tentang penyakit ini biarpun pada masa sama dunia sedang menderita pandemik Covid-19,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI