LONDON – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp sudah tidak sabar menyaksikan kemunculan semula Alex Oxlade-Chamberlain bagi membantu The Reds menghadapi baki saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Pemain tengah England itu tersisih sepanjang musim ini berikutan kecederaan lutut yang menimpanya sewaktu menyertai kem latihan pramusim Liverpool di Austria pada Ogos lalu.
Klopp menyifatkan kehadiran Chamberlain secara tidak langsung menyuntik semangat tambahan buat Liverpool .
Ia selepas pemain berusia 27 tahun itu dilaporkan semakin cergas dan turut berpeluang untuk beraksi menentang Fulham dalam saingan EPL di Craven Cottage awal pagi esok.
“Sudah pasti saya gembira kerana Chamberlain sudah kembali menyertai sesi latihan bersama pasukan.
“Saya juga lihat pemain-pemain lain lebih bersemangat apabila Chamberlain tiba di gimnasium pasukan.
“Kehadirannya akan memanfaatkan pasukan dan saya yakin anda juga pasti merinduinya kerana dia sudah lama tidak beraksi.
“Jika penyokong Liverpool sudah terlupa kehebatan Chamberlain, mungkin mereka boleh lihat di mana-mana media sosial atau YouTube dengan lebih jelas.
“Saya tidak tahu sama ada dia sudah bersedia untuk diturunkan minggu ini atau minggu depan. Jika dia sudah bersedia, saya percaya ia adalah satu kelebihan buat Liverpool musim ini,” kata Klopp.
Klopp dijangka kempunan menggunakan beberapa pemain terbaiknya seperti Diogo Jota yang mengalami kecederaan ketika berdepan Midtjylland dalam aksi Liga Juara-Juara, Rabu lalu.
The Reds ketika ini sudah kehilangan nama-nama besar seperti James Milner kerana hamstring, Xherdan Shaqiri (betis) dan Thiago Alcantara (lutut) selain Virgil van Dijk serta Joe Gomez yang terpaksa berehat panjang. – AGENSI