SEBERANG PERAI – Seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah berkelakuan aneh apabila mengunci diri dan keluarganya di dalam bilik sambil memasang radio di sebuah rumah di Jalan Pokok Sena, Kepala Batas di sini semalam.
Lebih membuatkan isteri dan dua anaknya cemas dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang itu apabila lelaki berusia 46 tahun tersebut memegang sebilah parang selepas mengarahkan mereka masuk ke dalam bilik tanpa sebab.
Bagaimanapun dia tidak mengugut atau mencederakan sesiapa ketika menyuruh isteri berusia 45 tahun dan anak berusia 4 dan 12 tahun itu masuk ke dalam bilik tidur di tingkat atas rumah dua tingkat itu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, lelaki itu telah mengunci pintu bilik dari dalam, menutup lampu dan memasang radio.
“Dia tidak membenarkan sesiapa keluar dari bilik, namun isterinya memujuk suspek untuk keluar dengan alasan mahu ke tandas sebelum membenarkan sambil dia mengekori.
“Wanita itu dan anak perempuan sulungnya bagaimanapun berjaya melarikan diri sebelum meminta pertolongan daripada bapa saudaranya yang berjiran memandangkan seorang lagi anak mereka masih di dalam bilik,” katanya kepada pemberita hari ini.
Noorzainy berkata, polis yang tiba di lokasi kejadian selepas mendapat laporan telah manahan suspek yang berumah tangga sejak 18 tahun lalu itu.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif syabu.
“Siasatan mendapati isterinya tidak tahu punca suspek bertindak demikian dan ia dikatakan kejadian yang pertama kali berlaku,” katanya lagi.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE