LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta memberi bayangan akan memberi peluang kepada pemain-pemain muda The Gunners untuk memburu kemenangan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Burnley di Stadium Emirates awal pagi esok.
Sebagai rekod, Arsenal ketika ini bergelut dengan prestasi yang dilihat terumbang-ambing dalam kancah EPL apabila menduduki tangga ke-15 dengan hanya menjaringkan 10 gol dalam 11 perlawanan.
Bagaimanapun, situasi berbeza di pentas Liga Europa yang mana pemain-pemain muda seperti Eddie Nketiah, Joe Willock, dan Folarin Balogun sangat menyerlah sehingga berjaya membantu Arsenal meledak 20 gol dalam semua enam perlawanan peringkat kumpulan.
Kata Arteta, prestasi merudum yang ditampilkan dua penyerang senior, Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang membuatkannya berfikir dua kali untuk menyenaraikan nama mereka dalam kesebelasan utama awal pagi esok.
“Barisan kejurulatihan masih lagi belum membuat sebarang keputusan mengenai rombakan dalam kesebelasan utama untuk aksi menentang Burnley. Namun, saya akui jika masanya sudah tiba, mungkin pemain-pemain muda akan diberi peluang.
“Saya sedar prestasi pasukan terutama dalam saingan liga domestik sangat teruk tetapi pertemuan menentang Burnley boleh menjadi titik permulaan untuk kami kembali berada di landasan kemenangan.
“Saya tidak tahu punca dan kelemahan pasukan kerana semua pemain telah memberikan komitmen yang cukup jitu semasa sesi latihan. Mungkin semangat serta mentaliti kemenangan sudah hilang dan itulah yang perlu kami perbaiki,” katanya. – AGENSI