PETALING JAYA – Juruiring Tentera Darat Yang di-Pertuan Agong, Brigadier Jeneral Datuk Zahari Mohd. Ariffin menyampaikan sumbangan makanan KFC kepada para petugas Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) Kuantan semalam.
Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, beliau yang menjunjung titah Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyerahkan sumbangan tersebut kepada ketua-ketua setiap agensi yang terlibat iaitu seramai 80 orang petugas.
Menurutnya, mereka adalah daripada pasukan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“SUKPA yang terletak di Indera Mahkota diaktifkan sebagai PKRC bagi menempatkan pesakit Covid-19 warga asing berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan.
“Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap kebajikan petugas-petugas kesihatan dan keselamatan yang berkhidmat tidak mengira masa dan tenaga bagi membendung wabak Covid-19,” katanya di laman Facebook hari ini. – K! ONLINE