CANBERRA – Seekor ular tanpa kepala dirakam seolah-olah cuba menyerang seorang pengunjung pantai di Australia, demikian menurut laporan Daily Mail hari ini.
Lelaki yang tidak didedahkan identiti itu dikatakan sedang berjalan bersama anjing peliharaannya di kawasan pantai sebelum menemui ular laut tanpa kepala itu.
Dia pada awalnya menyangka itu cuma bangkai ular dan menggunakan satu raket tenis untuk menolaknya. Bagaimanapun, lelaki itu terkejut apabila mendapati ular tersebut masih hidup.
Reptilia itu cuba mempertahankan diri dan melarikan diri namun tidak terdaya meskipun tidak lagi berkepala.
Menurut laporan, kepala ular itu disyaki terputus. Beberapa pengguna media sosial mendakwa reptilia itu menjadi mangsa serangan seekor burung.
Kata netizen, burung sudah memakan kepala ular sebelum badan reptilia itu terjatuh ke atas pantai.
Setakat ini, tiada maklumat didedahkan mengenai lokasi kejadian tepat.
Sebilangan ular masih boleh hidup selama beberapa jam walaupun tidak lagi mempunyai kranium (tengkorak).
Ini disebabkan reptilia tidak memerlukan kadar oksigen tinggi untuk dipam ke otak berbanding burung atau mamalia. – Agensi