PETALING JAYA – Pelakon Faye Kusairi memohon agar peminatnya tidak terlampau merisaukan keadaan kesihatannya selepas mendapat serangan Bell Palsy iaitu kelumpuhan otot muka, sejak Jumaat lalu.
Faye, 33, menjelaskan perkara tersebut menerusi satu video yang dimuat naik dalam Instagramnya hari ini dan dia dilihat bercakap dalam keadaan bibir yang sedikit herot ke kanan.
Menurut pemilik nama sebenar Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, doktor juga memaklumkan penyakitnya tersebut hanya bersifat sementara dan tidak kekal selamanya.
“Saya baru pulang berjumpa dengan pakar neurologi. Alhamdulillah doktor cakap saya sudah semakin sembuh.
“Macam yang anda dapat lihat mulut saya masih senget tetapi jangan risau sebab ini bukan kekal dan doktor kata akan sembuh, paling cepat dua minggu,” katanya.
Faye yang kini sedang hamil 38 minggu juga menjelaskan penyakit tersebut akan sembuh segera jika individu yang mengalaminya sentiasa berusaha dan berfikiran positif.
Dalam pada itu, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku turut menitipkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatannya.
“Saya tahu semua orang bimbang lihat keadaan muka saya yang senget tetapi sebenarnya saya tidaklah risau sangat dan sentiasa positif dengan ujian kecil ini.
“Kepada semua yang alami penyakit ini juga, kuatkan semangat dan jangan malu kerana sakit itu salah satu ujian daripada Allah SWT,” ujarnya.
Kosmo! pada 9 Disember lalu melaporkan Faye diserang penyakit Bell Palsy ketika sedang menggosok gigi di rumahnya dan tiba-tiba berasa otot muka bahagian kanannya kejang.
Bell Palsy merupakan sejenis kelumpuhan pada sebahagian muka kerana saraf atau otot muka berhenti berfungsi. Antara simpton lazim akibat penyakit berkenaan adalah muka senget sebelah terutama mata dan mulut tidak simetri. – K! ONLINE