ISKANDAR PUTERI – Seorang ibu terpaksa mencatu susu tepung untuk anak bongsunya berusia dua tahun dan hanya mampu sediakan nasi putih berlaukkan sup kosong untuk menjamu lima anaknya yang lain kerana sudah tidak ada duit poket.
Seri Suriani Melati Abdul Hussain, 36, berkata, dia tidak mempunyai pendapatan lain setelah hasil jualan tauhu sumedang yang diusahakan dengan suaminya, Arwis Mohd. Naim, 32, meniaga di tepi jalan kira-kira 200 meter dari rumahnya jatuh merudum sejak pandemik.
Bagaikan jatuh ditimpa tangga, nasib Suriani sekeluarga bertambah sukar selepas suaminya mengalami sakit belakang selepas terjatuh daripada bumbung rumah ketika membetulkan atap asbestos yang teralih dilanda ribut pada bulan lalu.
“Dalam keadaan susah, saya tidak ada pilihan lain dan perlu terus meniaga untuk mencari rezeki dengan terpaksa berulang alik dari rumah ke kedai untuk membawa peralatan meniaga seperti dapur, tong gas, kuali, minyak dan sebagainya menaiki motosikal.
“Jika ada suami, dia boleh pandu kereta ke merata tempat untuk meniaga bersama. Dengan apa yang berlaku ini, saya tidak mampu untuk bergerak jauh,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Jalan Taubat, Kampung Melayu, Gelang Patah di sini.
Suriani berkata, sejak Perintah Kawalan pergerakan Mac lalu, hasil jualannya terjejas teruk kerana tidak ramai pelanggan dan persaingan juga semakin ramai kerana penduduk kampung turut menjalani aktiviti perniagaan.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menghubungi suaminya di talian 011 1186 5787 atau menerusi akaun bank CIMB yang bernombor 7630 416932.