PETALING JAYA – Pelakon Abby Abadi memberitahu keadaan kesihatan dirinya yang kurang sihat akibat demam berlarutan sejak beberapa hari lalu.
Menerusi satu entri dalam Instagram, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 43, memberitahu, bukan sahaja dirinya, bahkan ahli keluarganya yang lain turut berada dalam keadaan kurang sihat.
“Assalamualaikum. Hai, banyak hari tak muncul. Hari ini baru mama (panggilan diri Abby) macam ada tenaga sikit. Mama demam empat hari dah. Darda (bayi lelaki Abby) dari semalam. Hari ini nampak teruk sikit dia. Tak apalah budak nak membesar memang beginilah,” tulisnya pada ruangan kapsyen.
Pada masa sama, Abby yang popular menerusi drama Gerak Khas menyatakan dua anak angkatnya turut mengalami demam yang tidak menentu.
“Daiyan, Dayana ‘on off’ (kadang-kadang okey, kadang-kadang tak). Abah pun ‘on off’ tetapi Abah lawan sebab ada kerja. Kakak abang yang lain? Sihat-sihat belaka sebab makan cukup semua,” tulisnya lagi.
Dalam pada itu, Abby turut memohon maaf apabila tidak dapat menyalurkan dana bantuan Wallet Kasih Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk beberapa hari ini.
“Wallet Kasih PKP pun terpaksa berehat sekejap sebab mama tak boleh pegang telefon lama, pening. Jadi berbaki RM5,000 akan saya agihkan nanti, insya-Allah. Jangan mendesak,” pintanya.
Menjengah pada ruangan komen, rata-rata pengikut Abby mendoakan agar pelakon itu dan seisi keluarganya segera sembuh termasuk aktres Memey Suhaiza yang turut mendoakan kesembuhan keluarga itu.
Terdahulu, Abby mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Faizal Zakaria pada Ogos 2015 dan dikurniakan tiga orang anak angkat, Muhammad Daiyan Fayyadh dan Maisara Dayana Fathia, masing-masing dua tahun serta Maira Darda Farisa berusia tujuh bulan.
Menerusi perkahwinan terdahulu bersama aktor Norman Hakim, Abby turut mempunyai tiga lagi cahaya mata. – K! ONLINE