fbpx

Jangan terpedaya tawaran pakej umrah meragukan – PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius isu penipuan pakej umrah yang mungkin berlaku ekoran pengumuman kerajaan Arab Saudi membenarkan jemaah umrah dari seluruh dunia untuk mengerjakan umrah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, buat ketika ini pelaksanaan ibadah umrah masih tidak dibenarkan namun pihak polis tidak menolak kemungkinan pengumuman negara Timur Tengah itu akan membuka peluang kepada penjenayah.

“Kita tidak menolak kemungkinan bahawa pengumuman oleh kerajaan Arab Saudi itu akan membuka peluang kepada penjenayah untuk menawarkan pakej umrah palsu yang boleh mengakibatkan kerugian kepada mangsa.

“Buat masa ini pihak polis masih belum lagi menerima sebarang laporan berkait kes-kes begini namun kami memberi jaminan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan akan dilaksanakan sekiranya kes-kes sebegini dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada sekiranya ditawarkan dengan pakej umrah dalam masa terdekat.

“Lakukan semakan yang sewajarnya dengan agensi yang bertanggungjawab termasuklah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan PDRM bagi mendapatkan pengesahan serta pandangan berkait pakej yang ditawarkan.

“Orang ramai juga digesa untuk membuat laporan polis sekiranya mendapati wujud tawaran pakej umrah yang meragukan agar siasatan sewajarnya dapat dilaksanakan,” ujar beliau.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan MOTAC sedang menyiasat iklan tawaran pakej umrah meragukan memandangkan tiada kebenaran untuk melaksanakan ibadah tersebut susulan penularan wabak Covid-19. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI