MILAN – Ketua jurulatih Inter Milan, Antonio Conte menepis kritikan yang dilemparkan ke atas pasukannya selepas menamatkan peringkat kumpulan B saingan Liga Juara-Juara pada kedudukan tercorot gara-gara seri tanpa jaringan dengan Shakhtar Donetsk awal pagi semalam.
Keputusan tersebut memusnahkan harapan skuad The Nerazzurri untuk layak ke peringkat kalah mati saingan Liga Juara-Juara atau Liga Europa sekali gus terpaksa fokus kepada saingan domestik sahaja musim ini.
Kata Conte, tiada masalah untuk memberikan pandangan termasuk mengkritik tetapi perlulah dengan fakta jelas dan tidak menjejaskan moral barisan pemain yang telah berusaha keras memburu kemenangan.
“Saya anggap kami tidak bernasib baik selepas terpaksa melupakan saingan Eropah musim ini. Pemain telah berusaha keras untuk mencatat kemenangan tetapi saya tidak tahu kenapa kami gagal menjaringkan sebarang gol.
“Saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku tetapi tidak perlulah memberi kritikan yang melampau. Saya percaya barisan pemain akan lebih fokus untuk mencapai sasaran dalam saingan domestik selepas ini,” katanya.
Sementara itu, kapten Inter, Samir Handanovic menegaskan, mereka layak tersingkir awal daripada pentas Liga Juara-Juara musim ini selepas gagal mempamerkan aksi konsisten. – AGENSI